Persidangan Antarabangsa Pendidikan Tamil perkukuh kerjasama global, pemerkasaan teknologi pendidikan
TANJONG MALIM – Pendidikan Tamil perlu bergerak seiring perkembangan teknologi global tanpa mengabaikan akar bahasa dan budayanya, kata Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri Perak, Datuk Sivanesan Achalingam.
Beliau berkata perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), pembelajaran digital dan transformasi teknologi dunia pendidikan menuntut pendidik Tamil agar lebih bersedia mengadaptasi perubahan demi memastikan sistem pendidikan itu terus relevan dan berdaya saing.
“Pendidikan Tamil hari ini tidak lagi tertumpu kepada pemeliharaan bahasa semata-mata, sebaliknya melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang sains, teknologi, perubatan, kejuruteraan, keusahawanan dan kepimpinan global,” katanya ketika merasmikan penutupan Persidangan Antarabangsa Keenam mengenai Penyelidikan dalam Pendidikan Tamil 2026 di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.
Beliau turut menegaskan Malaysia merupakan antara negara luar India yang berjaya mengekalkan sistem pendidikan rendah Tamil yang tersusun serta diiktiraf kerajaan sejak sekian lama, sekali gus mencerminkan komitmen negara dalam memelihara kepelbagaian bahasa dan keharmonian masyarakat majmuk.
Menurut beliau, kejayaan pelajar Tamil Malaysia di pentas antarabangsa dalam pertandingan inovasi, projek STEM, debat dan laluan pendidikan tinggi membuktikan pelajar daripada aliran pendidikan Tamil mampu bersaing di peringkat global.
Sivanesan berkata persidangan seperti itu amat penting dalam memperkukuh penyelidikan, inovasi kurikulum, pedagogi digital dan pembangunan pendidikan pelbagai bahasa, selain menjadi platform pertukaran idea dalam kalangan ahli akademik dan pendidik.
Beliau turut menggalakkan kerjasama lebih erat antara institusi pendidikan Malaysia dengan organisasi pendidikan di India serta negara lain yang mempunyai komuniti Tamil bagi memperkukuh penyelidikan, program pertukaran pelajar, pembangunan pembelajaran digital dan latihan guru.
“Persidangan seperti ini tidak seharusnya berakhir sekadar sebagai pertemuan akademik, tetapi perlu diterjemahkan kepada tindakan praktikal dan penambahbaikan jangka panjang dalam pendidikan Tamil,” ujar beliau.
Sementara itu, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Prof Madya Dr. Norliza Jamaluddin berkata UPSI komited memperkasa pendidikan bahasa, penyelidikan linguistik dan pembangunan pendidikan pelbagai bahasa selaras dengan keperluan semasa dunia pendidikan.
“Bahasa bukan sekadar medium komunikasi, tetapi turut membawa budaya, identiti, tamadun, ilmu dan perpaduan sosial. Justeru, pendidikan Tamil perlu terus diperkasa supaya kekal relevan, dinamik dan berorientasikan masa depan.
Menurut beliau, Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Tamil di UPSI antara penyumbang utama dalam melahirkan guru Tamil profesional, beretika dan berorientasikan penyelidikan untuk sistem pendidikan negara.
“Sebagai pendidik Tamil masa depan, mereka bukan sahaja bertanggungjawab memelihara bahasa klasik dunia, tetapi juga memastikan pendidikan Tamil terus relevan melalui integrasi budaya, teknologi dan inovasi pendidikan moden,” katanya. – MADANI NEWS
