Industri sokong penubuhan Pusat Penempatan TVET GITC
INDUSTRI Malaysia menerusi Badan Penyelarasan TVET Kerajaan-Industri (GITC) hari ini menzahirkan komitmen berterusan dalam memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dipacu industri melalui prapelancaran Pusat Penempatan TVET GITC (GTPC).
Majlis prapelancaran yang berlangsung di Wisma FMM itu menjadi langkah awal penting sebelum pelancaran rasmi nasional GTPC sempena Hari TVET Negara 2026 yang dijadual disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri.
Program berkenaan turut menjadi platform strategik bagi memperkenalkan rangka kerja, objektif serta pendekatan pelaksanaan GTPC kepada pelbagai pihak berkepentingan melibatkan kerajaan, industri dan institusi pendidikan.
GITC ditubuhkan sebagai platform penyelarasan nasional yang diterajui industri bagi menyelaras dasar kerajaan, permintaan industri dan pelaksanaan TVET supaya lebih tersusun, bersepadu serta responsif terhadap keperluan tenaga kerja semasa dan masa depan.
Selaras dengan Agenda TVET Negara 2030, GITC memainkan lima peranan utama iaitu memberi nasihat kepada kerajaan berkaitan pembangunan dasar TVET, melaksanakan kerjasama strategik bersama majikan dan institusi TVET, merancang keperluan tenaga kerja negara, mempergiat promosi TVET serta mencadangkan insentif bagi menggalakkan penglibatan industri.
GTPC diwujudkan bagi merealisasikan peranan tersebut dengan menghubungkan secara langsung permintaan industri bersama penawaran bakat daripada institusi TVET dan pendidikan tinggi.
Platform itu turut memberi sokongan kepada tenaga pengajar dan pensyarah melalui pendedahan lebih meluas terhadap amalan serta keperluan industri semasa.
GTPC dibangunkan sebagai platform nasional bersepadu yang menyokong penempatan latihan industri, pembelajaran berasaskan kerja (WBL), program perantisan, padanan pekerjaan graduan serta pembangunan bakat jangka panjang.
Inisiatif itu dijangka mampu mengurangkan ketidakselarasan penempatan, meningkatkan kualiti latihan industri dan memperkukuh penglibatan sektor industri dalam melahirkan tenaga kerja yang bersedia untuk pasaran pekerjaan.
Dengan sasaran penyertaan 10,000 syarikat, GTPC mencerminkan komitmen kolektif industri untuk memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan modal insan negara.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim ketika berucap pada majlis itu menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif GTPC yang diterajui industri dan menegaskan kepentingan kepimpinan industri dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan serta kesiapsiagaan tenaga kerja negara.
Menurut beliau, GTPC menyediakan platform tersusun yang mampu mengukuhkan hubungan antara industri dan institusi TVET menerusi latihan industri, pembelajaran berasaskan kerja serta penempatan pekerjaan.
“Pendekatan diterajui industri ini akan menyokong pembangunan ekosistem TVET yang lebih responsif dan berorientasikan permintaan semasa industri,” katanya.
Beliau berkata, GTPC juga selari dengan keutamaan strategik Kementerian Pendidikan Tinggi khususnya dalam aspek kebolehpasaran graduan, penglibatan industri dan kesiapsiagaan tenaga kerja selain melengkapkan laluan pendidikan kepada pekerjaan di peringkat nasional.
Sementara itu, GITC melihat GTPC sebagai platform nasional jangka panjang yang mampu memperkukuh pemilikan industri dalam pembangunan bakat sekali gus menyokong transformasi ekonomi negara melalui penyediaan tenaga kerja mahir dan bersedia industri. – MADANI NEWS
