Piala Sultan Pahang 2026 kembali, Resort World Awana venue terbaharu kejohanan
KEJOHANAN Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2026 kembali untuk edisi kedua dengan sasaran memperkukuh pembangunan golf amatur negeri serta melonjakkan Pahang sebagai destinasi utama pelancongan golf negara.
Kejohanan yang bakal berlangsung bermula pada 27 Jun depan itu dianjurkan di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Sultan Pahang.
Penganjuran sirkit berkenaan dilaksanakan oleh ahli jawatankuasa yang dilantik dengan kerjasama Majlis Sukan Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang.
Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pembangunan sukan golf di Pahang perlu digerakkan secara lebih menyeluruh dan berdaya saing sehingga mampu mencapai standard antarabangsa.,
Baginda bertitah, golf bukan sahaja sukan elit tetapi platform membentuk disiplin, fokus dan daya saing generasi muda.
“Beta mahu melihat sukan golf di negeri ini dibawa ke tahap dunia dengan melahirkan lebih ramai pemain berbakat yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Sehubungan itu, beta juga bercadang mewujudkan kejohanan golf remaja sebagai platform pembangunan bakat baharu dan pelapis masa depan sukan ini,” titah baginda ketika merasmikan pelancaran kejohanan di Resorts World Awana, Genting Highlands hari ini.
Kejohanan itu akan membuka tirainya di Villea Rompin Golf Resort pada 27 Jun depan sebelum berakhir di Resorts World Awana, Genting Highlands untuk kejohanan Grand Final pada 5 September.
Pengerusi Kejohanan Piala Sultan Pahang 2026, Datuk Seri Shafik Fauzan berkata, Resort Awana menjadi veneu terbaharu untuk kejohanan tersebut dan sudah tentu ia akan meningkatkan lagi minat para peserta untuk bermain golf di tanah tinggi tersebut.
Katanya, kejohanan itu bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat baharu dalam sukan golf, malah menjadi platform mengeratkan semangat kesukanan dan persaudaraan dalam kalangan pemain golf di negeri berkenaan.
Beliau berkata, setakat ini, permohonan untuk menyertai kejohanan yang dikhususkan untuk penduduk Pahang ini telah mendapat sambutan melebihi jangkaan dan pihak penganjur menetapkan akan menerima 100 pemain sahaja.
Sebanyak empat lokasi utama dipilih bagi penganjuran kejohanan tahun ini iaitu Villea Rompin Golf Resorts, Royal Pekan Golf Club, Royal Pahang Golf Club dan Resorts World Awana.
Jadual kejohanan bermula dengan Siri 1 di Villea Rompin Golf Resorts pada 27 Jun depan, diikuti Siri 2 di Royal Pekan Golf Club pada 25 Julai dan Siri 3 di Royal Pahang Golf Club, Kuantan pada 29 Ogos. – MADANI NEWS

