DAP lapor Zahid kepada SPRM, hubungan antara pemimpin dalam kerajaan makin retak
KUALA LUMPUR: Hubungan DAP dan Umno dalam kerajaan perpaduan kembali menjadi perhatian selepas Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Chong menggesa SPRM menyiasat peranan Zahid berhubung perbezaan RM2.1 bilion antara peruntukan diluluskan dengan perbelanjaan sebenar Program Jalan Luar Bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kini berdepan tekanan untuk menjelaskan isu berkenaan.
“Aduan rasmi itu kini telah dibuat. SPRM mesti menunaikan kenyataannya dan memulakan siasatan secara bebas,” kata Chong dalam kenyataan hari ini.
Menurut Chong, data Kementerian Kewangan menunjukkan KKDW membelanjakan RM1.8 bilion pada 2023 berbanding peruntukan RM1.1 bilion, RM2 bilion pada 2024 berbanding RM1.3 bilion dan RM2.3 bilion pada 2025 berbanding RM1.6 bilion.
Katanya, perbezaan keseluruhan bagi tempoh tiga tahun itu mencecah RM2.1 bilion.
Chong turut mempersoalkan mengapa kontraktor yang sudah menyiapkan kerja masih berdepan masalah pembayaran sehingga kerajaan terpaksa meluluskan tambahan RM300 juta.
Beliau mahu SPRM menentukan sama ada kontrak dan komitmen kewangan dibuat sebelum pembiayaan mencukupi diluluskan, selain meneliti kemungkinan berlaku ketidakteraturan dalam pemilihan kontraktor, pemberian kontrak dan proses pembayaran.
Isu itu tercetus selepas Zahid pada akhir Ogos menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penyaluran dana dan menggesa kontraktor yang sudah menyiapkan kerja dibayar segera.
Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, menjelaskan pada 2 September bahawa tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan jalan luar bandar KKDW dan dana berkenaan telah disalurkan sepenuhnya.
Menurutnya, masalah pembayaran berlaku kerana KKDW membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan sejak 2022.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudian meminta kedua-dua kementerian menyelesaikan isu itu melalui perbincangan, manakala Zahid menegaskan KKDW tidak akan berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan kerajaan.
Laporan Chong itu juga hadir selepas Penasihat DAP, Lim Guan Eng, pada 30 September menggesa SPRM menyiasat Zahid dan mengaitkannya dengan tindakan agensi berkenaan dalam kes UiTM Holdings.
Perkembangan terbaru itu menambah tekanan terhadap hubungan DAP-Umno, yang sememangnya semakin tegang menjelang pilihan raya negeri Melaka.
Dalam perkembangan berkaitan, Zahid ketika Perhimpunan Agung Umno bulan lalu memberi isyarat bahawa kesabaran parti itu dalam kerajaan perpaduan semakin menipis, malah menggesa PRU16 disegerakan.
Beliau turut menyatakan hasrat Umno untuk kembali menerajui kerajaan Persekutuan dengan mandat baharu, bukan terus menjadi “rakan junior” dalam pentadbiran pihak lain.
