78 pemain meriahkan Kejohanan Golf Allianz-Media

78 pemain meriahkan Kejohanan Golf Allianz-Media

SHAH ALAM – Pengamal media daripada pelbagai organisasi membuktikan keupayaan masing-masing di padang golf apabila Kejohanan Golf Allianz Malaysia Berhad bersama Media edisi ke-12 berlangsung meriah di Kelab Golf Kota Permai, Shah Alam, Khamis lalu.

Seramai 78 pemain mengambil bahagian dalam kejohanan tahunan yang bukan sahaja menjadi medan persaingan secara sihat, malah platform mengukuhkan hubungan antara Allianz Malaysia dengan pengamal media.

Muhammad Syahid dari Astro Arena muncul juara keseluruhan selepas mengutip 38 mata untuk membawa pulang hadiah utama berupa R2G Range Finder Mate Hybrid.

Kejayaan itu menyaksikan Syahid mengetepikan saingan peserta lain dalam kejohanan yang menghimpunkan wakil Allianz Malaysia serta pengamal media daripada pelbagai organisasi.

Bagi kategori berpasukan, kuartet Allianz Malaysia yang dibarisi Ashraf Irfan, Yusof Harun, Borhan Abu Samah dan Rastam Ariffin muncul juara dengan kutipan keseluruhan 252 mata.

Allianz Malaysia turut diwakili Ahli Lembaga Pengarahnya, Loh Kam Hian dan Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Insurance Malaysia Berhad, Giulio Slavich.

Turut hadir memeriahkan kejohanan ialah Presiden Penulis Sukan Malaysia, Ismadi Abdul Manap bersama pengamal media lain.

Dalam ucapannya, Slavich berkata Allianz amat menghargai sumbangan dan peranan pengamal media dalam memastikan masyarakat Malaysia menerima maklumat yang tepat, pantas serta bertanggungjawab.

Menurutnya, kejohanan berkenaan membawa makna lebih besar daripada sekadar pertandingan golf kerana ia menyediakan ruang untuk membina persahabatan, mengukuhkan kepercayaan dan menjalin hubungan yang lebih bermakna.

Beliau berkata, pihaknya berbesar hati dapat meluangkan masa bersama rakan-rakan media dalam suasana santai, sekali gus mengeratkan hubungan yang selama ini terjalin menerusi urusan profesional.

Katanya, penganjuran program seumpama itu juga mencerminkan komitmen Allianz untuk terus menghargai hubungan baik dengan pengamal media.

Allianz berharap tradisi penganjuran kejohanan berkenaan dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebagai platform memperkukuh kerjasama dan hubungan antara kedua-dua pihak.

Memasuki edisi ke-12, kejohanan itu terus menjadi antara acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh warga Allianz dan pengamal media, dengan sukan golf menjadi medium menyatukan kedua-dua pihak di luar suasana kerja harian. – MADANI NEWS