Tuanku Muhriz titah Ismail kekal sebagai MB, ADUN Juasseh itu turut nafi hantar surat perletakan jawatan
SEREMBAN – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menitahkan Datuk Seri Ismail Lasim meneruskan tugas sebagai Menteri Besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri itu.
Ismail berkata, titah berkenaan disampaikan Tuanku Muhriz ketika beliau menghadap baginda di Istana Hinggap, di sini, pagi ini.
Beliau turut menafikan pernah mengemukakan surat peletakan jawatan bertarikh 16 November 2026 kepada baginda atau memberikan persetujuan supaya surat berkenaan diserahkan kepada pihak istana.
“Saya ingin menjelaskan berhubung laporan mengenai surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang bertarikh 16 November 2026, saya tidak ada mengemukakan mahupun memberikan persetujuan untuk surat tersebut dikemukakan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
“Saya tak setuju surat ini dihantar dan saya pun tak hantar sendiri surat kepada Tuanku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di kediaman rasminya di sini, hari ini.
Menurut Ismail, Tuanku Muhriz dalam pertemuan itu menitahkan beliau meneruskan khidmat dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar demi kepentingan rakyat serta memastikan pentadbiran negeri terus berjalan lancar.
Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh menegaskan akan terus melaksanakan amanah berkenaan dengan penuh komitmen dan dedikasi.
“Yang penting untuk hari ini, saya kekal setia kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, saya terus menjalankan tugas Menteri Besar,” katanya.
Mengulas mengenai surat peletakan jawatan yang dilaporkan sebelum ini, beliau mengakui surat berkenaan memang wujud dan berada dalam simpanan kepimpinan parti.
” Tapi saya tak pernah bersetuju ia dihantar dalam keadaan begini,” katanya ringkas.
Terdahulu, Ismail, 67, tiba di Istana Hinggap pada 10.17 pagi untuk menghadap Tuanku Muhriz susulan kemelut politik dan pentadbiran yang melanda negeri itu.
Baginda dilaporkan berangkat tiba kira-kira 9.30 pagi, diikuti ketibaan tiga pembesar adat Negeri Sembilan iaitu Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid; Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari; dan Undang Luak Jelebu, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Azrin Khairi.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, mengumumkan Ismail meletakkan jawatan pada 16 November lalu.
Zambry berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerima salinan surat peletakan jawatan bertarikh sama yang ditujukan kepada Tuanku Muhriz dan akan mengemukakan cadangan calon pengganti kepada baginda.
Bagaimanapun, Malaysiakini pada 17 November lalu melaporkan dakwaan sumber yang menafikan Ismail meletakkan jawatan atau menyerahkan surat berkenaan kepada pihak istana.
Pada hari sama, Istana Negeri Sembilan memaklumkan kesahihan surat itu masih belum disahkan, selain menegaskan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Ismail sebelum ini turut menghadap baginda pada 17 November lalu, manakala laporan media pada 18 November menyebut Tuanku Muhriz menitahkan beliau meneruskan tugas seperti biasa berdasarkan hasil pertemuan tersebut.
Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos lalu selepas BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, sekali gus membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
