“Hubungan BN, PH peringkat persekutuan sangat-sangat baik” – Zahid
BARISAN Nasional (BN) mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Pakatan Harapan (PH) pada peringkat Persekutuan dengan kerjasama yang terjalin kukuh walaupun dua gabungan parti politik itu sedang berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kepimpinan BN dan PH sentiasa bersikap profesional dan matang ketika berpolitik, dengan meletakkan kepentingan agenda nasional sebagai keutamaan tertinggi.
”Hubungan kami BN dan PH adalah sangat-sangat baik. Saya ingin sahkan, sangat-sangat baik dan kita sangat profesional.
“Kita membezakan isu peringkat nasional yang harus kita tangani bersama-sama sebagai anggota Jemaah Menteri dengan isu lain pada peringkat negeri umpamanya,” katanya selepas merasmikan RISDA Agro Majestic di Bandar Tenggara di Kota Tinggi hari ini.
Ahmad Zahid berkata kedua-dua gabungan parti politik itu komited untuk mengekalkan keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan menerusi pendekatan kempen pilihan raya yang matang pada PRN Johor.
Beliau yang juga Presiden Umno berkata strategi politik kedua-dua pihak berasaskan persaingan sihat tanpa melibatkan sebarang provokasi melampau.
“Beberapa pendekatan telah kami lakukan, antaranya tidak serang satu sama lain walaupun kita berada di gelanggang (sama) di Johor khususnya dan akan ke Negeri Sembilan tetapi kita tidak menyerang melampaui batas.
“Jika ada yang tersasul daripada pihak sana atau pihak sini, kita harus mengendurkan keadaan. Paling penting demokrasi harus diterjemahkan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Ahmad Zahid berkata formula kemenangan dalam landskap politik hari ini tidak lagi bergantung kepada keupayaan sesebuah parti menghentam atau memburukkan lawan, sebaliknya rakyat menilai kualiti dan merit calon yang diketengahkan.
Beliau memberi contoh persaingan calon yang memiliki latar belakang profesional seperti bidang perubatan dan bekas menteri.
“Kita harus mempromosikan calon kita seperti di Panti (Dr Naqib Ghazali) dan di Pasir Raja (Datuk Seri Dr Adham Baba – doktor dan bekas Menteri Kesihatan). Mereka ini yang harus kita promosikan, bukan menghentam parti atau calon lain,” katanya.
Sebanyak 172 calon disahkan bertanding pada PRN Johor pada 11 Julai manakala hari pengundian awal pada 7 Julai. – BERNAMA
