Nurul Aliah jadi pasangan pilihan Arif Aiman
PEMAIN bola sepak kebangsaan dan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi selamat menamatkan zaman bujang apabila sah bergelar suami kepada pilihan hatinya, Nurul Aliah Natasha Md Hairushahri pada hari ini.
Majlis akad nikah pasangan itu difahamkan berlangsung dalam suasana sederhana namun meriah di sebuah lokasi di Johor Bahru dengan hanya dihadiri ahli keluarga serta kenalan rapat kedua-dua belah pihak.
Berita pernikahan pemain kebangsaan berusia 24 tahun itu pantas mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air selepas beberapa video dan gambar majlis mula tular di media sosial.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik, Arif Aiman dan pasangannya tampil segak serta anggun mengenakan busana sedondon putih yang menyerlahkan seri pasangan pengantin baharu itu.
Bagaimanapun, suasana paling menyentuh hati sudah tentu ketika Arif dilihat gagal menahan sebak sebaik selesai melafazkan akad nikah sebelum memeluk ibunya penuh emosi.
Momen penuh makna itu nyata mengundang rasa terharu dalam kalangan peminat yang mengikuti perkembangan majlis berkenaan menerusi media sosial.
Ruangan komen turut dibanjiri ucapan tahniah dan doa daripada penyokong Harimau Selatan serta peminat bola sepak tempatan yang mendoakan kebahagiaan pasangan terbabit.
Majlis resepsi pasangan itu pula dijadual berlangsung pada sebelah malam dan dijangka lebih meriah dengan keberangkatan tiba Pemangku Sultan Johor dan juga pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail.
Sebelum ini, kad undangan pernikahan Arif yang tersebar di media sosial sudah lebih awal mencetuskan keterujaan peminat sehingga menjadi antara topik hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.
Arif yang kini dianggap antara tonggak utama skuad Harimau Malaya dan JDT terus menerima limpahan ucapan tahniah daripada peminat yang gembira melihat bintang muda itu memulakan episod baharu dalam kehidupannya. – MADANI NEWS
