Zahid ulangi gesaan segerakan PRU16 – “Ini kehendak rakyat,” katanya
PRESIDEN UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengulangi gesaan supaya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 disegerakan.
Bercakap di hadapan perwakilan UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, Zahid berkata ia adalah kehendak rakyat.
“PRU-16 adalah detik penentuan bagi kita mendapatkan semula mandat menerajui kepimpinan. Ini bukan desakan, ini bukan harapan, ini kehendak rakyat.
“Justeru, telah tiba masanya PRU-16 perlu segera diadakan. Setuju? Alang-alang menyeluk pekasam. Biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang kita dah berlawan, kita lawan, lawan sampai (menang),” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar.
Sebelum ini, Pengerusi BN itu mengesahkan komitmen gabungan itu untuk RU16 diadakan lebih awal, memetik laporan media.
Zahid berkata hal ini bagi membolehkan kerajaan persekutuan memperoleh mandat baharu daripada pengundi.
Mengulas lanjut, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata parti itu bagaimanapun tidak pernah berhasrat untuk ‘tebuk atap’ kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Kita tak pernah berhasrat untuk tebuk atap. Kalau mereka mahu, kita ada cara untuk lakukan,” katanya lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama politik, di hadapan kehadiran pemimpin PAS, Zahid mengingatkan tentang prasyarat kepada persefahaman.
Dia mengingatkan bahawa persefahaman tidak seharusnya disulami dengan pengkhianatan.
“Jangan khianat-mengkhianati. Jangan bina persefahaman pada waktu siang tetapi merancang menjatuhkan rakan di malam hari. Jangan perjanjian ditandatangani, dalam masa yang sama ia dimungkiri.
“Jika kerbau diikat pada tali, manusia diikat dengan janji,” katanya lagi. – MADANI NEWS
