“Cukup, cukuplah guru!” – Zahid sindir Anwar soal subsidi petrol yang berubah
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang didakwa kerap mengubah dasar subsidi petrol sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 hari ini, Zahid secara sinis menyindir Anwar sebagai “guru” yang perlu berhenti mengubah dasar mengikut keadaan politik.
Katanya, perubahan kuota subsidi petrol Budi95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan sebelum dikembalikan kepada 300 liter hanya menimbulkan ketidakpastian kepada rakyat.
“Bila takut kehilangan sokongan rakyat, naik lagi. Mungkin selepas itu tarik balik. Kemudian apabila dekat pilihan raya, naik balik.
“Siapa yang buat ini? Guru,” katanya yang disambut gelak dan tepukan perwakilan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Zahid kemudian mengulangi sindirannya dengan meminta “gurunya” mendengar suara rakyat.
“Cukup, cukuplah guru! Dengarlah suara kami, guru! Dengarlah suara rakyat, wahai guru! Cukup, cukuplah!
“Insya-Allah kami boleh buat lebih baik daripada yang guru buat,” katanya.
Walaupun tidak menyebut nama Anwar, sindiran itu dilihat jelas merujuk kepada hubungan “guru dan anak murid” yang pernah dikaitkan dengan kedua-dua pemimpin berkenaan.
Zahid turut mempersoalkan penjenamaan kerajaan pimpinan Anwar sebagai “Kerajaan Madani”, sedangkan kerajaan itu pada asalnya dipersetujui sebagai kerajaan perpaduan.
“Telah dipersetujui bahawa kerajaan harus dipanggil kerajaan perpaduan. Tetapi akhirnya, ‘perpaduan nasional’ ini ditukar kepada ‘Kerajaan Madani’, yang datangnya entah dari mana,” katanya.
Kerajaan memperkenalkan Budi95 pada September 2025 sebagai sebahagian daripada langkah penyasaran subsidi petrol bagi mengurangkan ketirisan perbelanjaan kerajaan. – MADANI NEWS
