AS jangan campur tangan, Malaysia berhak usir mana-mana individu langgar syarat – Fahmi
TINDAKAN lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang mempertikaikan pendirian Malaysia untuk mengusir segera rakyat Israel yang didapati melanggar syarat imigresen disifatkan sebagai biadab dan satu cubaan mencampuri urusan kedaulatan negara.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, menegaskan Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap campur tangan sedemikian dan akan menyampaikan pendirian rasmi kerajaan kepada Kedutaan AS.
“Kita tidak akan berdiam dan sudah pasti kita akan sampaikan mesej yang sangat jelas kepada Kedutaan AS. Jangan campuri urusan dalaman termasuk isu imigresen bagi negara Malaysia.
“Negara kita negara yang berdaulat. Sekiranya ada mana-mana pihak atau individu didapati melanggar syarat-syarat, maka kita mempunyai kuasa dan hak untuk menghalau serta mengusir mereka.
“Jadi, jangan cuba mencampuri urusan dalaman negara kita. Itu bukan satu perkara yang baik dan kita akan pastikan Kedutaan AS mengetahui pendirian ini,” katanya kepada media selepas melawat sesi latihan kompang dan permainan gasing di FELDA Kepis bersama calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Mohd Hanis Alimin.
Media sebelum ini melaporkan lapan Ahli Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu rakyat Israel berada di Malaysia diusir segera.
Lapan Ahli Kongres daripada Parti Demokrat itu ialah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss.
Menerusi surat yang dimuat naik Greg Landsman di akaun Facebooknya, kumpulan itu menyatakan kebimbangan serius terhadap kenyataan Anwar berhubung tindakan Malaysia terhadap rakyat Israel.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Kerajaan Persekutuan kekal dengan pendirian tegas berhubung isu Network School yang dikaitkan dengan dakwaan kehadiran individu memiliki dua kerakyatan termasuk warga Israel di Forest City.
Beliau berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini turut menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu berkenaan dan semua dakwaan akan disiasat secara menyeluruh.
Menurutnya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, turut memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa siasatan sedang diperhalusi terhadap 11 individu yang dipercayai memiliki dua kerakyatan.
“Bagi Jabatan Imigresen dan juga Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), setakat ini tidak ada sebarang kesalahan yang dikenal pasti, namun siasatan tetap diteruskan.
“Sehingga tadi, Menteri Dalam Negeri memaklumkan tidak ada warganegara Israel dikesan dalam kalangan 266 individu yang telah disiasat dan ditemui Jabatan Imigresen serta pihak berkuasa,” katanya.
