Pelajar ditikam cedera paru-paru, alami 16 luka tikaman
PETALING JAYA: Seorang pelajar perempuan yang ditikam di sebuah sekolah di Banting, Kuala Langat, cedera pada bahagian paru-paru selain turut mengalami kira-kira 16 luka tikaman pada bahagian badan dalam kejadian pagi tadi.
Bapa mangsa, Mohd Firuz Ibrahim berkata, ketika kejadian kira-kira 9 pagi itu, beliau sedang bekerja sebelum menyedari terdapat beberapa panggilan tidak dijawab daripada pihak sekolah.
“Saya ketika itu sedang menyusun barang dan tidak perasan telefon saya berbunyi. Apabila saya telefon semula pihak sekolah, saya ingat anak saya cuma tak sihat … tak sangka dia menjadi mangsa tikaman,” kata penghantar barangan berusia 43 tahun itu di Hospital Banting, lapor Bernama.
Mohd Firuz berkata, beliau dimaklumkan pasukan perubatan sedang berusaha mengeluarkan darah pada paru-paru kiri anaknya.
Pelajar Tingkatan Tiga itu bagaimanapun dalam keadaan stabil serta masih boleh bercakap.
Dalam pada itu, Mohd Firuz meluahkan rasa kesal berhubung kejadian itu dan memohon pihak sekolah supaya mengetatkan tahap keselamatan agar kejadian sama tidak berulang.
Menurutnya, dia difahamkan suspek ialah rakan sekelas anaknya ketika Tingkatan Dua dan kini sedang dicutikan bagi menjalani rawatan kesihatan.
Bagaimanapun, beliau tidak percaya bahawa anaknya merupakan sasaran asal suspek, sebaliknya menjadi mangsa kerana tidak sempat melarikan diri.
Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan suspek dipercayai menikam pelajar itu telah ditahan polis dan pelajar perempuan yang cedera sedang dirawat di Hospital Banting. – AGENSI
