150 murid Hulu Selangor terima cermin mata percuma, bantuan RM550 seorang

SERENDAH – Seramai 150 murid sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan di daerah Hulu Selangor menerima bantuan cermin mata percuma menerusi Program YBK EYE – Lensa MADANI, anjuran Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Selangor.
Setiap penerima turut memperoleh bantuan wang tunai RM200 dan baucar RM200, menjadikan nilai keseluruhan bantuan berjumlah RM550 seorang.
Program yang berlangsung di Dewan Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Asrama Kasih YBK, di sini hari ini itu turut menyediakan cermin mata bernilai RM150 kepada setiap murid, menjadikan keseluruhan bantuan yang disalurkan bernilai RM82,500.
Inisiatif itu bertujuan membantu murid yang mengalami masalah penglihatan, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan, mendapatkan cermin mata bersesuaian bagi memastikan mereka dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih baik.
Pengarah ICU JPM Selangor, Datuk Mohd Khidir Majid, berkata kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat, terutama golongan yang memerlukan, selaras dengan semangat ihsan dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah agenda MADANI.
Beliau berkata bantuan menerusi program berkenaan bukan sahaja melibatkan cermin mata percuma, malah setiap murid turut menerima wang tunai RM200 dan baucar bernilai RM200.
Mohd Khidir berharap bantuan itu dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh penerima dan menjadi pemangkin kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

Sementara itu, Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom, berkata masalah penglihatan yang tidak dikesan boleh menjejaskan prestasi akademik murid, terutama apabila mereka tidak menyedari kesukaran mengikuti pembelajaran berpunca daripada masalah penglihatan.
Beliau berkongsi pengalaman ketika zaman persekolahan apabila hanya menyedari masalah penglihatannya selepas berpindah ke tempat duduk di bahagian hadapan kelas.
Menurutnya, pengalaman itu membuktikan pentingnya pengesanan awal dan bantuan bersesuaian bagi memastikan setiap murid memperoleh peluang pembelajaran yang lebih baik.
Beliau turut menyifatkan kerjasama semua pihak dalam menjayakan program itu sebagai satu usaha kebajikan bermakna, selain berpotensi menjadi amal jariah kepada mereka yang menyumbang tenaga, kepakaran dan sumber.
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Selangor, D’Stream Vision Sdn. Bhd. dan Klinik Optometri Bergerak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
YBK berkata program itu merupakan kesinambungan daripada projek rintis YBK Eye yang dilaksanakan pada 2019, membabitkan 320 pelajar daripada 37 sekolah di empat daerah di Selangor yang menerima bantuan cermin mata percuma.
Pelaksanaan di Hulu Selangor menjadi langkah awal bagi usaha memperluas Program YBK EYE – Lensa MADANI ke daerah lain di Selangor secara berperingkat, bergantung kepada ketersediaan dana, kerjasama strategik dan keperluan setempat.
YBK turut merakamkan penghargaan kepada ICU JPM Selangor atas kelulusan peruntukan dan sokongan, PPD Hulu Selangor dalam mengenal pasti murid yang memerlukan, D’Stream Vision atas penyediaan cermin mata serta Klinik Optometri Bergerak UKM atas kepakaran pemeriksaan dan penjagaan penglihatan.
YBK merupakan badan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada 26 Mac 1990 dengan fokus kepada usaha pembasmian kemiskinan, pendidikan dan pembangunan modal insan. – MADANI NEWS
