Meraikan Hari Malaysia dan harapan kukuhkan integrasi nasional di masa depan


ARTIKEL KHAS SEMPENA BULAN KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA
Tahun ini genaplah 62 tahun penubuhan Malaysia melalui persefahaman antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
Setiap kali tibanya tarikh ini saya sentiasa membayangkan susah payah pemimpin terdahulu untuk menyatukan semua wilayah dengan berteraskan 3 perkara iaitu cabaran (ketika itu), kebijaksanaan dan wawasan jauh yang menjadikan wilayah-wilayah terlibat aman, makmur dan memiliki kuasa sendiri selepas dijajah sekian lama.
Faktor keseimbangan penduduk, sosioekonomi, pengaruh komunis dan gerakan haluan kiri di Singapura dan Sarawak khususnya, mendorong semua pihak menyokong gagasan penubuhan Malaysia dan membolehkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu diterima pakai sebagai Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Kini setelah separuh abad Malaysia diasaskan, adalah baik jika hala tuju dan masa depan tiga wilayah ini sebagai sebuah keluarga Malaysia diterjemahkan secara lebih akrab, muhibbah dan harmoni melalui perkongsian kemakmuran.
Bagaimanapun masih wujud persoalan apakah wajar kegembiraan menyambut ulang tahun itu dicemari cerita yang diungkit-ungkit , prejudis dan anti antara satu sama lain?
Sejak kebelangan ini, titik bengik merimaskan itu masih kedengaran dan kelihatan. Ia seolah-olah semakin melebar. Segalanya angkara sentimen politik yang tiada kesudahannya terutama dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
Benar, selagi wujudnya manusia, selagi itulah konflik akan terus berlaku di muka bumi ini namun pada masa sama kita juga telah berjaya menyelesaikan pelbagai konflik dan perselisihan melibatkan antara wilayah tersebut.
Ia mampu dicapai hasil kedudukan politik yang kukuh, perpaduan yang utuh, toleransi dan komitmen tinggi semua pihak untuk mewujudkan suasana harmoni.
Malangnya kini wujud usaha mahu memecah belahkan rakyat dengan menyebarkan sentimen ‘anti Malaya’ sebagai modal politik bagi meraih undi.
Sebenarnya rakyat tidak ada masalah mengekalkan sikap muhibbah dan mempertahankan integrasi nasional sebaliknya secara jujur saya katakan orang politiklah yang menyemai kebencian demi mahu meraih populariti, pengaruh dan undi.

Saya berkawan rapat dengan ahli politik di Sabah dan Sarawak. Sejak puluhan tahun saya bekerjasama membangunkan sosioekonomi terutama di Sabah, watak orang politik ibarat duit syiling bermuka dua.
Dari satu sudut mereka menjadikan anti Malaya sebagai modal politik manakala dari sudut lain pula mereka memaparkan watak pro Malaya.
Semua itu mereka melakukan semata-mata mahu mengaut keuntungan peribadi dan meraih kuasa melalui sokongan penyokong serta pengundi.
Ramai ahli politik berdegar-degar melaungkan sentimen anti Malaya tetapi pada masa sama mereka berpoligami dengan orang Malaya. Malahan ada yang sanggup bercerai demi mengejar si cantik dari Semenanjung.
Dalam menempuh masa depan Malaysia yang semakin mencabar berikutan pengaruh teknologi komunikasi, ketidaktentuan global dan ancaman alam semulajadi yang semakin berubah, langkah mendesak sekarang ialah berusaha bersungguh-sungguh mengukuhkan muhibbah dan integrasi nasional bagi jangka masa panjang.
Oleh itu sudah tiba masanya, kita menunjukkan ketegasan dalam memelihara hubungan integrasi nasional melalui kaedah 3E iaitu education (pendidikan), enggagement (libat urus) dan enforcement (penguatkuasaan undang-undang).
Jika itu dapat dilakukan sudah pasti akhirnya kita akan berupaya membentuk ikatan muhibbah yang kukuh antara warga Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Kaedah 3E ini saya sudah perkenalkan sejak tahun 2016 dan melakukan beberapa projek perintis melibatkan Sabah, Sarawak dan Labuan terutama dalam aspek budaya, pendidikan dan pembangunan sosioekonomi.
Dari Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) hinggalah wujudnya Kementerian Perpaduan Nasional (KPN), saya secara konsisten melakukan usaha itu kerana saya adalah graduan doktrin integrasi nasional yang dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun 1988.
Justeru itulah kementerian yang perlu memainkan peranan utama ialah Kementerian Perpaduan Negara. Mereka perlu progresif melaksanakan pendekatan baharu yang dinamik dan berkesan. Semua gerak kerja kementerian itu perlu berteraskan kepada usaha mewujudkan perisai bagi berhadapan ancaman kepada integrasi nasional.
Kementerian tersebut mesti bersifat kalis ancaman serta memiliki doktrin kuat untuk menangkis serangan yang boleh merapuhkan perpaduan dan menjejaskan integrasi nasional.
Pengertian Hari Malaysia bukanlah seolah-olah pentarama atau citrawarna hiburan yang sekadar mempersembahkan hiburan pelbagai etnik.
Tetapi lebih penting ialah menyusun aktiviti bersifat simulasi bagi membolehkan setiap lapisan masyarakat merasai erti perkongsian hidup supaya bersama-sama berkongsi budaya, menempuh cabaran dan menikmati kemakmuran rezeki Malaysia.
Apa yang saya katakan bukanlah retorik kerana sudah melakukannya dengan kapasiti saya sebagai warga Malaysia yang tiada jawatan politik, kuasa pentadbiran kerajaan dan pengaruh tertentu.
Namun saya sudah membuktikannya melalui latihan kemahiran TVET yang disemarakkan secara adil dan saksama antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Pernah suatu ketika, daripada RM25 juta bajet TVET pertanian dan perladangan setahun yang kami perolehi, 50 peratus diagihkan secara percuma kepada belia Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun zaman kegemilangan itu tidak berterusan hingga kini kerana kegagalan kita melihat kebaikan integrasi nasionalnya.
IGROW yang beroperasi di Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah sehingga kini menjadi katalis kepada simulasi kerjasama antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak sehingga membolehkan beratus-ratus anak-anak muda Sabah dan Sarawak merantau dan tinggal di seluruh Semenanjung untuk belajar pertanian, perladangan dan budaya masyarakat selama dua tahun.
Dalam usaha meningkatkan ekonomi golongan miskin, komuniti ekonomi antara Sabah dan Sarawak digabungkan dengan Semenanjung secara berstruktur dan kekal hingga kini.
Tidak pernah sama sekali, rasa prejudis dan tidak puas hati antara wilayah keluar daripada mulut mereka, melainkan rasa cinta dan kasih untuk terus bersama sebagai rakyat dengan semangat GAGASAN penubuhan Malaysia yang tercipta 62 tahun lalu.
Hanya simulasi inilah yang berjaya memupuk semangat muhibbah dan integrasi nasional tulen kerana simulasinya mampu menerapkan kefahaman budaya, perkongsian suka duka dan susah senang bersama. Ia akhirnya membentuk kepercayaan, toleransi dan kasih sayang berpanjangan.
Ya, kami sektor swasta berniaga dan bermatlamatkan keuntungan perniagaan tetapi jika perniagaan sosial kami boleh mencapai hasrat penubuhan Malaysia sejak dulu secara cepat, cekap, jimat dan berkesan, apakah salah jika kami yang sudah terbukti mampu melakukan anjakan baru dalam mencapai rangka kerja integrasi nasional untuk diajak bersama menjayakan misi tersebut?
Apakah kita masih perlu mendengar kerapuhan integrasi nasional ketika menyambut Hari Malaysia 50 tahun lagi atau apakah kita sudah tidak menyambutnya lagi ketika itu kerana masing-masing sudah menjauhkan diri?
IMPIAN SAYA IALAH MAHU MELIHAT SEMENANJUNG, SABAH DAN SARAWAK MERASAI NIKMAT PERSAUDARAAN LEBIH BAIK PADA MASA DEPAN DALAM SEBUAH NEGARA BERNAMA MALAYSIA.
SELAMAT HARI MALAYSIA KE-62
*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosiaekonomi.