Ahli Parlimen PN dan 7 Ahli Parlimen PKR minta tangguh bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Semula Bandar  | Madani News

Ahli Parlimen PN dan 7 Ahli Parlimen PKR minta tangguh bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Semula Bandar 

Ahli Parlimen PN dan 7 Ahli Parlimen PKR minta tangguh bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Semula Bandar 
Datuk Seri Takiyudin Hassan dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada sidang media di Parlimen hari ini.

‘’ Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi bersidang sebelum ini telah memohon agar kerajaan menangguhkan pembentangan tersebut kerana gagal menyelesaikan masalah berbangkit.’’ – Ahli Parlime Kota Bharu, Datuk Seri Taliyuddin Hassan

SEMUA ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan 7 Ahli Parlimen PKR hari ini menggesa kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) di Dewan Rakyatl

Pada sidang media berasingan di Parlimen, mereka berkata terdapat beberapa perkara berbangkit yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

 Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dari PN meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Nga Kor Ming supaya menangguhkan pembentangan RUU tersebut untuk bacaan kali kedua.

Beliau berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi bersidang sebelum ini telah memohon agar kerajaan menangguhkan pembentangan tersebut kerana gagal menyelesaikan masalah berbangkit.

“Jadi pandangan PN adalah selari dengan jawatankuasa pilihan berkaitan ini, jadi tidak ada sebab kenapa menteri tidak boleh menangguhkan bacaan kali kedua, apa yang terburu-buru sangat tak perlu terburu-buru, kan?

“ Ulasan daripada beberapa ahli parlimen kerajaan yang mengatakan banyak yang mereka tidak setuju, bagi kami RUU ini bercanggah dengan pelbagai undang-undang,” katanya.

Terdahulu dalam persidangan Dewan Rakyat, Takiyuddin membangkitkan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat Perkara 54 bahawa sesuatu RUU boleh diserahkan kepada jawatankuasa pilihan sebelum bacaan kali kedua.

Bahkan beliau turut menunjukkan surat Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab dihantar kepada Kor Ming.

Takiyuddin berkata,  RUU tersebut juga tidak dimaklumkan selain tidak diberikan kefahaman yang jelas, menyebabkan pelbagai persepsi timbul dalam insiden pengambilan tanah di Kuala Lumpur termasuk di Kampung Baru.

“Surat ini jawatankuasa pilihan berkaitan dengan rang undang-undang ini minta bacaan kali kedua ditangguhkan sehinggalah semua isu-isu diselesaikan, jadi saya memohon supaya menteri menangguhkan bacaan kali kedua.

“Bukan saja dengan permintaan pihak pembangkang, tapi jawatankuasa pilihan itu sendiri, kerana banyak lagi perkara-perkara yang belum diselesaikan berkaitan dengan rang undang-undang ini,” katanya 

 Pada sidang media berasingan, tujuh Ahli Parlimen PKR menyatakan kebimbangan mengenai RUU URA, khususnya mengenai ambang persetujuan bagi projek pembaharuan bandar.

Mereka adalah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

Rodziah yang membacakan kenyataan bersama itu berkata kebimbangan utama mereka khususnya membabitkan Seksyen 19(1)(b),

Di bawah seksyen itu, ia menyebut bahawa jika suatu projek pembaharuan semula bandar dijalankan oleh Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan atau Jawatankuasa Eksekutif Negara bagi suatu bangunan berusia 30 tahun atau kurang, ambang persetujuan hendaklah 80 peratus.

Ia termasuk membabitkan bangunan berusia lebih daripada 30 tahun, ambang persetujuan hendaklah 75 peratus.

“Kami menggesa kerajaan untuk tidak meneruskan bacaan kedua pada Rabu ini (minggu depan) dengan mengkaji semula RUU berkenaan pada sidang Parlimen akan datang,” katanya.

Katanya ia selepas satu sesi taklimat yang lebih menyeluruh diberikan kepada Ahli Parlimen dengan menekankan isu utama ambang persetujuan serta kesannya terhadap penyewa miskin bandar.

“Sekiranya kerajaan meneruskan RUU URA dalam bentuknya sekarang, ia berisiko mengasingkan pengundi bandar khususnya di kawasan pilihan raya yang menempatkan banyak perumahan sosial.

“Ini akan menjadi satu kesilapan politik yang besar. Kami menyokong secara prinsip RUU URA ini dengan syarat ambang persetujuan ditetapkan dengan lebih adil dan masalah perumahan sosial ditangani seperti yang telah kami cadangkan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Dalam konteks Malaysia, Rodziah berkata negara ini mempunyai tanah jauh lebih luas berbanding Hong Kong dan Singapura, sekali gus kerajaan tidak seharusnya tergesa-gesa untuk merendahkan ambang persetujuan ini.

Malah pihaknya percaya bahawa ambang persetujuan yang sesuai hendaklah ditetapkan lebih tinggi iaitu 85 peratus bagi bangunan berusia lebih 30 tahun dan 90 tahun bagi bangunan berusia bawah 30 tahun.

“Ia demi melindungi hak pemilik rumah dan khususnya penyewa dalam perumahan sosial. Kita tidak seharusnya menyokong ambang persetujuan 75 peratus ini,” katanya.

Meskipun tidak membantah pembangunan semula bangunan benar-benar terbengkalai atau tidak selamat denga ambang persetujuan 51 peratus, Rodziah menegaskan pembangunan semula bandar membabitkan perumahan kos rendah perlu ditangani dengan lebih adil.

“Walaupun kami menyokong, secara prinsip, pembangunan semula rumah kos rendah yang sudah usang, kami memandang dengan penuh kebimbangan bahawa dasar perumahan sosial yang diwarisi oleh Kerajaan Madani ini adalah sangat pincang.

“RUU URA ini tidak banyak memperbaikinya. Pemilik semua rumah kos rendah kebanyakan terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana bukan golongan kaya. Sebagai contoh, di Subang, kajian dijalankan pejabat Subang mendapati hampir 73 peratus penghuni unit kos rendah adalah penyewa, bukan pemilik.

“Majoriti besar pemilik adalah daripada golongan kes menengah dan berpendapatan tinggi,” katanya.