JDT sapu bersih! Julang Piala Malaysia dalam perlawanan penuh dramatik

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi membuktikan mereka kuasa mutlak bola sepak tanah air apabila menamatkan musim ini dengan penuh bergaya — melengkapkan hatrik quadruple buat kali ketiga berturut-turut selepas menumbangkan Sri Pahang FC 2-1 dalam final penuh dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Kemenangan di edisi ke-98 Piala Malaysia ini bukan sekadar menambah koleksi trofi Harimau Selatan, malah ia mengukuhkan dominasi mereka selepas turut bergelar juara Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih musim ini. Ini juga kejuaraan kelima Piala Malaysia buat JDT selepas edisi 2017, 2019, 2022 dan 2023.
Namun, kejayaan itu tidak datang bergolek. Pentas final ini penuh dengan aksi sengit, insiden kontroversi dan detik-debar yang menggamit puluhan ribu penyokong di stadium.
Skuad Tok Gajah yang dibimbing legenda Singapura, Fandi Ahmad, bermula garang apabila T. Saravanan membuka jaringan seawal minit ke-14. Bermula dengan sepakan sudut Aleksandar Cvetkovic, Saravanan pantas menyambar peluang untuk menewaskan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi — membungkam kem Harimau Selatan seketika.
Tersentak dengan jaringan itu, JDT mengasak bertubi-tubi dan hampir menyamakan kedudukan menerusi Bergson da Silva pada minit ke-25, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan VAR mendapati beliau berada dalam kedudukan ofsaid.
Detik dramatik berlaku 10 minit kemudian apabila Sergio Aguero dari Sri Pahang dilayangkan kad kuning kedua, memaksa Tok Gajah beraksi dengan 10 pemain. Keputusan pengadil Razlan Joffri Ali ini mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong dan pengamal media.
Babak kedua dimulakan dengan percaturan taktikal JDT, memasukkan Romel Morales dan Iker Undabarrena untuk menambah bisa serangan. Arif Aiman Hanapi hampir mencetak nama sebagai penjaring, namun percubaannya ditepis kemas Muhammad Zarif Irfan.
Pada minit ke-53, VAR sekali lagi menjadi penentu apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran dalam kotak penalti. Bergson tenang menyempurnakan tugas untuk mengikat kedudukan 1-1.
Hanya tiga minit kemudian, giliran JDT pula bermain dengan 10 pemain selepas Park Jun-heong dilayangkan kad kuning kedua. Aksi kembali seimbang, namun JDT kekal mengawal tempo permainan.
Detik keramat tiba pada minit ke-73. Arif Aiman, pemain muda berbisa yang baru dinobatkan Pemain Paling Bernilai Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK), meledak gol kemenangan JDT dengan rembatan leret menewaskan Zarif Irfan.
Sri Pahang berjuang habis-habisan memburu gol penyamaan, namun benteng JDT kekal utuh sehingga wisel penamat.
Dengan kemenangan ini, JDT bukan sahaja membalas dendam kekalahan di tangan Sri Pahang pada final 2014, tetapi juga terus mengukir nama dalam sejarah sebagai pasukan paling dominan di era moden Liga Malaysia. – MADANI NEWS