PAS-Bersatu: “Kita dah banyak bersabar… tetapi sabar ini ada hadnya,” kata Hadi
HUBUNGAN antara Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dilihat semakin tegang apabila Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, memberi amaran keras kepada sekutunya itu menjelang pilihan raya yang semakin hampir.
Beliau menegaskan PAS selama ini masih bersabar dengan beberapa tindakan Bersatu yang didakwa membelakangi semangat setiakawan dalam Perikatan Nasional (PN), namun kesabaran tersebut mempunyai batas.
“Kita tak kecewa… kita sabar, tetapi sabar ini ada batasnya,” katanya pada sidang media di Rusila, Terengganu, hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, antara perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati PAS ialah tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu di Negeri Sembilan yang menarik balik akuan bersumpah (SD) untuk menyingkirkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Katanya, PAS sudah menghantar surat rasmi kepada Bersatu berhubung tindakan tersebut kerana ia dianggap melanggar semangat kerjasama antara kedua-dua parti, memetik laporan Malaysiakini.
“Alasan yang diberi kita tak boleh terima. Umno tak tarik balik, mengapa Bersatu tarik balik?” katanya.
Abdul Hadi turut mengungkit tindakan Bersatu di Perlis sebelum ini yang didakwa menyokong undi tidak percaya terhadap Menteri Besar negeri itu, selain usaha menonjolkan calon mereka sendiri untuk jawatan tersebut.
“PAS mengambil tindakan disiplin terhadap Adun kita, tetapi Bersatu tidak bertindak apa-apa. Kita masih sabar sebab mahu menjaga perpaduan PN,” katanya.
Selain itu, beliau mendakwa PAS turut tidak senang dengan campur tangan Bersatu dalam isu pemecatan exco dan timbalan speaker di Kedah serta Kelantan, khususnya membabitkan individu yang sebelum ini mempunyai kaitan dengan Bersatu.
Menurutnya, PAS lebih menilai prestasi seseorang dalam pentadbiran dan bukan semata-mata bertindak atas kehendak politik.
“Kalau prestasi melaksanakan tugas dengan baik, tak perlu dipecat,” katanya.
Dalam masa sama, Abdul Hadi mendakwa Bersatu juga tidak bersetuju dengan cadangan PAS untuk membuka ruang kepada lebih banyak parti Melayu-Islam serta parti bukan Islam yang tidak ekstrem menyertai PN.
Beliau turut membidas kekuatan jentera pilihan raya Bersatu yang menurutnya tidak seimbang dengan jumlah calon yang ditampilkan setiap kali pilihan raya.
“Bila turun ke medan, petugas tak ada. Ada calon saja. Ahli disebut beribu-ribu tetapi bila pilihan raya, ahli PAS juga yang bekerja,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Hadi menegaskan PAS tidak lagi akan tunduk kepada kehendak Bersatu seperti sebelum ini.
“Kita akan ajar dia satu per satu apakah langkah selanjutnya,” katanya.
Walaupun mengakui kemungkinan PAS bergerak tanpa Bersatu selepas ini tidak boleh ditolak, beliau menegaskan PAS masih kekal sebagai tulang belakang PN dan bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.
“PAS masih Pengerusi PN dan kita bersedia menghadapi pilihan raya bila-bila masa sahaja,” katanya.
Beliau berkata, Majlis Syura Ulama PAS akan meneliti setiap tindakan Bersatu sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat menjelang pilihan raya umum akan datang.
