Aktivis GSF dakwa diseksa, termasuk dirogol ketika dalam tahanan Israel
AKTIVIS Global Sumud Flotilla (GSF) yang dibebaskan daripada tahanan Israel mendakwa mereka menjadi mangsa pelbagai bentuk penderaan fizikal dan seksual ketika ditahan oleh rejim Zionis.
Malah, beberapa aktivis mendakwa ada antara mereka menjadi mangsa rogol dan serangan seksual selepas kapal bantuan yang dinaiki dipintas tentera laut Israel di perairan antarabangsa.
Dakwaan serius itu dijangka meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Israel, khususnya selepas tersebarnya rakaman video Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir, yang dilihat mengejek tahanan aktivis terbabit.
Tindakan Ben-Gvir mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa sehingga beberapa negara Eropah mula membincangkan kemungkinan mengenakan sekatan terhadap pemimpin kanan Israel itu.
Italy dilaporkan memaklumkan bahawa negara anggota European Union (EU) sedang meneliti cadangan sekatan tersebut.
Sebelum ini, Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas, turut mencadangkan tindakan sekatan terhadap Ben-Gvir dan seorang lagi menteri Israel, namun cadangan itu gagal mendapat sokongan penuh 27 negara anggota EU.
Penganjur GSF dalam kenyataan di Telegram mendakwa sekurang-kurangnya 15 aktivis menjadi mangsa serangan seksual, termasuk rogol, selain ramai lagi mengalami kecederaan serius akibat dipukul dan ditembak menggunakan peluru getah dari jarak dekat.
Menurut mereka, puluhan tahanan turut mengalami patah tulang akibat layanan ganas sepanjang berada dalam tahanan Israel.
Pakar ekonomi dari Itali, Luca Poggi, berkata ramai tahanan diserang menggunakan senjata renjatan elektrik, termasuk pada bahagian sulit badan.
“Kami dinafikan akses kepada peguam, pakaian ditanggalkan, dicampak ke lantai dan ditendang,” katanya kepada Reuters sejurus tiba di Rome.
Seorang lagi aktivis Itali, Ilaria Mancosu, mendakwa tahanan dipindahkan ke dua kapal penjara selepas ditahan, dengan salah satu kapal menyaksikan layanan yang lebih brutal terhadap aktivis.
Katanya, terdapat tahanan mengalami kecederaan serius pada mata dan telinga akibat senjata renjatan, manakala ada yang dipukul sehingga patah rusuk dan lengan selain dikurung dalam kontena sempit tanpa kemudahan asas.
Beliau turut mendakwa tahanan tidak diberikan selimut, kekurangan air bersih dan dipaksa melutut selama berjam-jam sebaik tiba di daratan sebelum dipindahkan berulang kali dari satu bilik ke bilik lain bagi menghalang mereka tidur.
Sementara itu, pihak berkuasa penjara Israel menafikan semua dakwaan tersebut dan menegaskan layanan terhadap tahanan dibuat mengikut undang-undang serta garis panduan kesihatan, namun pihak pendakwa raya di Itali dilapor sudah memulakan siasatan kemungkinan berlaku jenayah termasuk penculikan dan serangan seksual. – AGENSI
