Bermaz Motor, Tasik Puteri GCC jalin kerjasama strategik galak pembangunan sukan golf | Madani News

Bermaz Motor, Tasik Puteri GCC jalin kerjasama strategik galak pembangunan sukan golf

Bermaz Motor, Tasik Puteri GCC jalin kerjasama strategik galak pembangunan sukan golf

TASIK Puteri Golf & Country Club mengumumkan jalinan kerjasama korporat pertamanya sejak ditubuhkan pada tahun 2007- bersama Bermaz Motor Trading Sdn. Bhd., pengedar rasmi kenderaan Mazda di Malaysia.

Melalui majlis menandatangani perjanjian kerjasama yang meriah, Bermaz Motor menyerahkan cek replika bernilai RM100,000 sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif komuniti dan pembangunan sukan golf oleh kelab tersebut untuk tempoh dua tahun akan datang.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, kenderaan Mazda akan ditawarkan sebagai hadiah eksklusif hole-in-one dalam kejohanan-kejohanan utama anjuran kelab – meningkatkan lagi daya tarikan dan keunggulan acara pertandingan golf.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Tasik Puteri Golf & Country Club dalam inisiatif yang bermakna ini. Mazda sentiasa komited kepada pengalaman pemanduan yang melangkaui jangkaan, dan melalui kolaborasi ini kami berharap dapat menyokong pertumbuhan sukan golf serta memberi impak positif kepada masyarakat,” kata Pengarah Pemasaran Bermaz Motor Trading Sdn. Bhd., Lee Ai Hoon.

Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen bersama untuk menggalakkan penglibatan komuniti dan kecemerlangan sukan, khususnya di kawasan Lembah Klang. Ia turut mengukuhkan lagi misi Tasik Puteri GCC untuk menjadi fasiliti golf awam terkemuka di Malaysia.

Kelab ini juga terkenal dengan sumbangannya kepada masyarakat- termasuk menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Amal Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) pada tahun 2023, yang bakal kembali pada tahun 2025.

“Ini satu pencapaian yang membanggakan buat kami. Bekerjasama dengan jenama berprestij seperti Mazda amat selari dengan visi kami untuk terus berkembang, berinovasi dan menawarkan pengalaman terbaik kepada ahli, tetamu serta komuniti golf secara keseluruhan,” KATA Pengurus Besar Tasik Puteri Golf & Country Club, Nor Afendi Mohd Razlan.

Bagi meraikan kerjasama ini, satu kejohanan golf persahabatan telah diadakan melibatkan 40 pemain, diikuti dengan jamuan tengah hari yang dihadiri lebih 70 tetamu kehormat, termasuk wakil media dan personaliti berpengaruh.

Melangkah ke hadapan, Tasik Puteri GCC komited untuk menjadikan golf lebih inklusif dan mesra masyarakat. Pihak kelab menjemput agensi kerajaan, pemimpin sektor swasta dan NGO untuk bekerjasama dalam merangka inisiatif yang memupuk gaya hidup sihat, keterangkuman dan pembangunan komuniti melalui golf.

Dengan termeterainya kerjasama ini, Bermaz Motor dan Tasik Puteri GCC bersedia membuka lembaran baharu untuk masa depan sukan golf awam yang lebih progresif dan berimpak di Malaysia. – MADANI NEWS