BN-PN sah bekerjasama: PN umum 11 calon lengkapkan agihan 36 kerusi PRN Negeri Sembilan
PERIKATAN Nasional (PN) malam ini mengesahkan kerjasama pilihan raya dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas mengumumkan 11 calon yang akan bertanding di baki kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengumuman dibuat Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Kompleks PAS, Ampangan, sekali gus melengkapkan agihan 36 kerusi DUN selepas BN terlebih dahulu mengumumkan 25 calon pada malam sebelumnya.
Ahmad Samsuri berkata, pengumuman tersebut membuktikan persefahaman yang telah dicapai antara kedua-dua gabungan apabila baki kerusi yang tidak diumumkan BN kini diisi calon-calon mewakili PN.
“Semalam Tok Mat menyebut BN akan mempunyai persefahaman dengan ‘rakan’. Malam ini, rakan itu mengisytiharkan calon-calon yang akan memulakan langkah bersama,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman calon.
Beliau berkata, kesemua 11 calon itu akan bertanding sebagai calon PN dan melengkapkan keseluruhan 36 kerusi yang akan ditandingi gabungan BN-PN pada pilihan raya kali ini.
Antara calon berprofil tinggi yang diketengahkan ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Mohd. Fairuz Mohd. Isa yang akan bertanding semula di DUN Serting, manakala bekas Exco Negeri Sembilan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Abdul Malek diletakkan di DUN Ampangan.
Turut dicalonkan ialah bekas ADUN Paroi, Kamarlol Ridzuan Mohd. Zain di DUN Paroi serta bekas ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria di DUN Bagan Pinang, selain Dani Rais, anak kepada bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang akan bertanding di DUN Klawang.
PN turut mempertaruhkan bekas Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah di DUN Sikamat, selain Kumar Paramasivam (Lobak), Erik Michael (Mambau), Ridzuan Ahmad (Gemas), Lee Boon Shian (Bukit Kepayang) dan Sathes Kumar Nilameham (Lukut).
Sementara itu, Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan BN hanya mengumumkan 25 calon sehari lebih awal jelas memberi gambaran bahawa kedua-dua gabungan telah mencapai persetujuan untuk bekerjasama dalam menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Menurut beliau, kenyataan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyebut baki calon akan diumumkan oleh “rakan baik” menjadi petunjuk jelas bahawa kerjasama BN-PN telah dimuktamadkan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam landskap politik negeri itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini mengumumkan partinya tidak akan meletakkan calon pada PRN Negeri Sembilan, sebaliknya memberi tumpuan membantu kempen PN sepanjang pilihan raya berlangsung.
Menariknya, pengumuman malam ini juga menyaksikan tiada calon daripada Bersatu diumumkan di bawah senarai PN, sebaliknya parti itu dijangka mengumumkan calon-calonnya sendiri yang akan bertanding menggunakan logo parti. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 18 Julai ini, manakala pengundian berlangsung pada 1 Ogos depan. – MADANI NEWS
