Belanjawan 2027: Peruntukan STR, SARA naik kepada RM16 bilion
KUALA LUMPUR: Kerajaan meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion bagi 2027, berbanding RM15 bilion tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan berkata semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun, yang dijangka memanfaatkan sehingga sembilan juta penerima.
“Semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau sehingga RM1,800 setahun,” kata Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Beliau berkata rakyat berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR pula akan menerima SARA MADANI RM100 sebanyak dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-70.
Menurutnya, bantuan itu dijangka memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat Malaysia termasuk golongan M40.
Anwar turut mengumumkan peluasan penggunaan SARA bagi pembelian barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.
Katanya, terdapat 15,000 premis rakan niaga SARA ketika ini, termasuk 6,800 kedai runcit kecil dan koperasi, dengan kerajaan menyasarkan jumlah kedai runcit kecil meningkat kepada 10,000 sebelum akhir tahun ini. – BERNAMA
