Umum bentuk pakatan baharu, Bersatu bukan lagi sebahagian PN – Hadi
MARANG: PAS menganggap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara automatik bukan lagi sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) selepas parti itu menyatakan hasrat untuk membentuk pakatan politik baharu.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan hasrat berkenaan menyebabkan Bersatu dianggap telah keluar daripada gabungan PN tanpa memerlukan sebarang keputusan rasmi.
Menurutnya, Bersatu boleh dianggap “terjerat sendiri” susulan kenyataan mengenai pembentukan pakatan baharu itu.
“Mereka (Bersatu) sudah membuat kenyataan untuk tubuhkan pakatan lain dan secara automatiknya dia keluar (dari PN).
“Tak perlu kenyataan atau keputusan rasmi dah sebab dia dah terjerat sendiri apabila dia buat kenyataan begitu.
“Ikut perlembagaan (PN), kalau dia pergi ke (pakatan) lain, habislah,” katanya.
Abdul Hadi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Masjid Rusila di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata PN juga tidak perlu mengeluarkan sebarang surat rasmi bagi mengesahkan kedudukan Bersatu, walaupun beliau sendiri tidak memegang sebarang jawatan dalam kepimpinan gabungan berkenaan.
Untuk rekod, PN kini diterajui Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu dan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, manakala Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, merupakan salah seorang Timbalan Pengerusi PN.
Abdul Hadi sebelum itu diminta mengulas kedudukan Bersatu dalam PN susulan perkembangan politik selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.
Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata Bersatu akan membentuk gabungan politik baharu yang disifatkan lebih hebat bersama beberapa pertubuhan lain selepas PRN Negeri Sembilan.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata gabungan berkenaan antara lain akan membabitkan parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), termasuk Putra dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).
Sementara itu, mengulas pelantikan wakil rakyat PN dalam barisan kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan hari ini, Abdul Hadi berkata PAS berpuas hati dengan pembahagian portfolio Exco yang diputuskan.
“Ya, kita berpuas hati. Kita diberikan dua wakil rakyat,” katanya ringkas.
