PAS, BERSATU hormati keputusan pengundi PRN Johor, terima hati terbuka
PAS Johor akur, menghormati dan menerima keputusan dengan hati yang terbuka susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 ini.
Pesuruhjayanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, berkata rakyat dan pengundi Johor menzahirkan pilihan serta kehendak mereka secara demokratik dalam menentukan kepimpinan kerajaan negeri.
Malah, katanya, keputusan itu juga menyahut seruan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk memastikan kuasa pemerintahan negeri terus berada di bawah kepimpinan orang Melayu Islam berjaya direalisasikan.
“Keputusan pilihan raya ini juga menunjukkan bahawa majoriti rakyat dan pengundi negeri Johor menzahirkan penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP.
“PAS Johor bersama PN akan terus beristiqamah dalam memperkukuhkan komitmen dan meneruskan agenda perjuangan demi agama, bangsa serta kebajikan rakyat, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, PAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh barisan kepimpinan di pelbagai peringkat, ahli, petugas dan jentera pilihan raya, penyokong serta pengundi gabungan itu.
Katanya, dokongan daripada pasukan tempatan, kawasan dari seluruh negeri telah memberikan komitmen yang tinggi dan menyumbangkan tenaga, masa serta wang ringgit dalam membantu PAS Johor menghadapi pilihan raya ini.
“PAS mengucapkan tahniah kepada BN yang diterajui oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi atas kemenangan dalam PRN dengan memperoleh majoriti kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Sementara itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) turut menerima keputusan pengundi Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam, yang menyaksikan parti berkenaan tidak memenangi sebarang kerusi menerusi Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pihaknya akan meneliti keputusan berkenaan secara terperinci dan membuat bedah selepas ini siasat bagi mengenalpasti beberapa langkah strategik.
Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Barisan Nasional (BN) yang diberikan mandat baru untuk membentuk kerajaan negeri selepas memenangi PRN Johor itu.
“Secara keseluruhan, jumlah undi yang diterima (BERSATU) adalah baik dan tapak sokongan ini akan terus diperluaskan di masa depan.
“BERSATU menerima keputusan pengundi Johor yang memberikan sokongan kepada calon di 16 kawasan ditandingi atas nama PN. Demokrasi yang memberi kuasa kepada rakyat adalah asas penting untuk kemajuan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mohamed Azmin turut mengucapkan terima kasih kepada semua jentera BERSATU yang bekerja keras membantu calon dalam semangat setiakawan dan kesetiaan kepada perjuangan.
Pada PRN ini, BERSATU tewas semua kerusi DUN ditandingi termasuk di Bukit Kepong selepas dua penggal memenanginya menerusi bekas Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi malam tadi, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, manakala lapan lagi oleh Pakatan Harapan (PH).
