‘Abang Yang’, anak sulung pengasas Silat Cekak meninggal dunia
ANAK sulung kepada pengasas Seni Silat Cekak, Allahyarham Ustaz Hanafi Ahmad, iaitu Allahyarham Zainul Abidin Hanafi, meninggal dunia awal pagi semalam.
Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Abang Yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.22 pagi, Ahad (12 Julai), bersamaan 26 Muharam 1448 Hijrah.
Berita pemergian beliau dimaklumkan menerusi satu kenyataan oleh Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia yang turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

Menurut kenyataan itu, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah turut dirasai sahabat handai serta seluruh warga Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia.
Allahyarham merupakan anak sulung kepada Allahyarham Ustaz Hanafi Ahmad, tokoh yang mengasaskan Seni Silat Cekak dan meletakkan asas kepada institusi persilatan Melayu yang berteraskan adab, disiplin, amanah serta nilai-nilai Islam.
Persekutuan itu turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga Allahyarham Ustaz Hanafi atas sumbangan besar mereka dalam meneruskan kesinambungan legasi perjuangan Seni Silat Cekak yang telah melahirkan ramai generasi berilmu, beradab dan berjati diri.
“Bagi pihak kepimpinan tertinggi, Ahli Majlis, tenaga pengajar serta seluruh warga Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia, kami merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
“Semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan, kekuatan dan kesabaran kepada seluruh ahli keluarga dalam menghadapi saat yang penuh dukacita ini,” menurut kenyataan tersebut.
Persekutuan itu turut mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat dan keampunan-Nya, menerima segala amal kebajikan yang telah dilakukan serta menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
Pada masa sama, seluruh ahli Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia serta masyarakat umum diseru menghadiahkan bacaan Surah al-Fatihah dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam syurga Allah SWT.
“Sesungguhnya daripada Allah SWT kita datang dan kepada-Nya jua kita kembali.”
Al-Fatihah.
