Kerjasama dengan PN: Pemuda PH cabar menteri dan timbalan menteri dari BN letak jawatan
PEMUDA Pakatan Harapan (PH) menggesa semua menteri dan timbalan menteri daripada Barisan Nasional (BN) melepaskan jawatan dalam Kerajaan Perpaduan susulan kerjasama terbuka gabungan itu dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Johor.
Pemuda PH mendakwa tindakan BN membentuk kerjasama pilihan raya dengan PN menunjukkan gabungan itu tidak lagi menghargai kepercayaan serta mandat yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada kepimpinan BN dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Menurut sayap pemuda PH itu, BN kini dilihat lebih mengutamakan percaturan politik jangka pendek berbanding mempertahankan semangat kerjasama yang dibina selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kami menempelak kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan secara terbuka bahawa sokongan pengundi terhadap calon BN dan PN di peringkat negeri menjadi medan menguji formula yang berpotensi diterjemahkan ke peringkat nasional menjelang PRU16.
“Pengakuan itu menunjukkan kerjasama BN-PN bukan lagi sekadar langkah sementara atau taktikal, sebaliknya merupakan persediaan ke arah pembentukan jajaran politik baharu,” kata Pemuda PH dalam kenyataan hari ini.
Pada penamaan calon PRN Negeri Sembilan semalam, BN dan PN menyaksikan kedua-dua gabungan itu tidak bertembung sesama sendiri selepas mencapai persetujuan pembahagian kerusi.
BN bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN meletakkan calon di 11 kerusi. Kesemua 36 kerusi berkenaan menyaksikan pertandingan antara BN-PN menentang calon PH.
Pemuda PH berkata perkembangan itu menimbulkan persoalan terhadap komitmen BN dalam Kerajaan Perpaduan, terutama apabila pemimpin parti itu masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, beberapa portfolio menteri serta jawatan strategik dalam kerajaan.
Menurut mereka, keadaan itu berbeza dengan tindakan PH di beberapa negeri selepas PRN 2023 apabila kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor tetap memberikan ruang kepada wakil BN menyertai pentadbiran negeri sebagai tanda menghormati semangat Kerajaan Perpaduan.
“Tindakan BN yang berulang kali menguji kesabaran rakan dalam Kerajaan Perpaduan menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen sebenar mereka,” katanya.
Pemuda PH berkata peletakan jawatan menteri dan timbalan menteri daripada BN merupakan langkah wajar supaya parti itu boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjasama politik bersama PN tanpa menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Katanya, langkah itu juga penting bagi mengelakkan percaturan politik BN menjejaskan kestabilan kerajaan Persekutuan serta memberi ruang kepada pentadbiran negara memberi fokus kepada agenda ekonomi, pelaburan dan kesejahteraan rakyat.
“Peletakan jawatan itu dapat mengurangkan risiko sebarang percubaan menebuk atap yang boleh menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan, selain memastikan formula baharu BN-PN dapat direalisasikan sepenuhnya jika itu adalah pilihan politik mereka,” katanya.
