“Izinkan saya jalani kehidupan seperti biasa” – Zizie Izette lega dibebaskan selepas 7 tahun perbicaraan
SELEPAS tujuh tahun turun naik mahkamah, pelakon Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akhirnya menarik nafas lega apabila Mahkamah Sesyen hari ini melepaskan dan membebaskannya daripada tiga pertuduhan bersubahat dalam kes rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.
Zizie Izette, 47, meluahkan rasa syukur atas keputusan yang memihak kepadanya selain merakamkan penghargaan kepada mahkamah dan semua pihak yang tidak pernah putus memberikan sokongan sepanjang berdepan dugaan besar itu.
“Saya berterima kasih kepada mahkamah, pasukan peguam, keluarga serta semua yang mendoakan dan menyokong saya selama ini.
“Selepas ini saya mahu meninggalkan segala-galanya yang saya tempuh sebelum ini kerana saya mempunyai tanggungjawab sangat besar.
“Saya ada lima orang anak dan saya kini ibu tunggal. Izinkan saya menjalani kehidupan saya seperti biasa. Tujuh tahun… Alhamdulillah, akhirnya keputusan ini memihak kepada saya,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Mengimbas kembali perjalanan kes itu, beliau berkata hanya Allah SWT yang mengetahui segala cabaran yang terpaksa dihadapi sepanjang tempoh tersebut.
“Saya seorang yang tidak suka bercerita atau berkongsi tentang kehidupan dan privasi saya. Cukuplah tujuh tahun saya memendam rasa. Alhamdulillah, hari ini saya rasa sangat lega,” katanya.
Zizie Izette yang juga isteri kepada bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya bagi memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2.8 juta.
Bagaimanapun, pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen membebaskan Bung Moktar daripada ketiga-tiga pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap bekas ahli politik berkenaan yang meninggal dunia pada 5 Disember 2025.
Terdahulu, Hakim Rosli Ahmad melepaskan dan membebaskan Zizie Izette daripada semua tiga pertuduhan bersubahat dalam kes rasuah itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kes terhadap pelakon berkenaan melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
— BERNAMA
