RoS batal pendaftaran PN: PAS anggap tindakan ‘luar tabie’, kerajaan ‘ala mafia’
KERAJAAN Perpaduan yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) didakwa terdesak menyekat kemaraan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sehingga mengambil tindakan drastik membatalkan pendaftaran gabungan itu.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan tindakan itu sebagai pendekatan ‘ala mafia’ yang tidak mencerminkan amalan demokrasi dalam sebuah negara.
“Jarang kerajaan di dunia ini membatalkan pendaftaran parti pihak lawan, kecuali kerajaan diktator dan komunis. Malaysia ini ala mafia, mereka terdesak,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, tindakan berkenaan seolah-olah menggambarkan sebuah kerajaan yang mengamalkan pemerintahan diktator atau komunis, dengan menggunakan kuasa untuk membuat keputusan yang memberi kesan kepada kepentingan awam.
Sanusi berkata demikian ketika mengulas keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran PN serta implikasinya terhadap penggunaan logo gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Mengulas mengenai penggunaan logo bagi menghadapi PRN Melaka selepas pendaftaran PN dibatalkan, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata, logo PAS boleh digunakan sebagai alternatif selepas PN tidak dibenarkan menggunakan lambang gabungan itu.
Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar pula berkata, menyifatkan apa yang berlaku hari ini sebagai amat luar biasa, serta “luar tabii”.
Mengulas keputusan berkenaan, Ahmad Samsuri memberitahu PN baru saja menerima surat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang meminta maklum balas berhubung penggunaan logo gabungan itu untuk menyertai PRN Melaka.
Dia yang juga seorang lagi Naib Presiden PAS mendakwa, susunan garis masa terkait pembatalan pendaftaran PN menunjukkan ia bermotifkan politik serta menampakkan ketakutan pihak tertentu terhadap pengaruh besar PN.
“Ingatlah, gelombang rakyat tidak akan mudah padam dengan tindakan orang politik yang berselindung di sebalik kuasa,” katanya.
Bagaimanapum seorang lagi pemimpin PAS menyatakan pembatalan pendaftaran PN itu dilihat tidak memberi kesan besar kepada PAS dan gabungan tersebut, malah dilihat menguatkan lagi semangat mereka untuk menghadapi pilihan raya.
menyifatkan apa yang berlaku hari ini sebagai amat luar biasa, serta “luar tabii”.
Manakala, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, pembatalan itu menzahirkan keazaman parti itu untuk menghadapi lawan ketika keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) membatalkan pendaftaran PN.
Idris menggunakan media sosial untuk menyatakan bahawa PAS dan sekutu mereka tidak ‘goyang’ mendepani cabaran itu walaupun PRN Melaka semakin menghampiri.
“Lambang apa PN hendak guna di PRN Melaka?
“Gunalah lambang apa pun, asalkan bukan lambang PH dan Bersatu ja (saja),” tulisnya yang juga seorang daripada pemimpin kanan PN.
Pagi tadi ROS mengumumkan pendaftaran PN dibatalkan selepas surat penjelasan yang dihantar oleh parti gabungan pembangkang itu dianggap tidak menjawab persoalan yang dikemukakan jabatan berkenaan.
ROS menghantar notis kepada PN pada 22 Sept lalu dan dijawab pada 12 Okt.
Jawaban yang diberikan PN, kata ROS, didapati tidak dapat menyangkal asas-asas pembatalan pendaftaran seperti yang dinyatakan dalam notis kepada parti terbabit.
“Sehubungan itu, Pendaftar Pertubuhan membuat keputusan untuk membatalkan pendaftaran PN di bawah Subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta 832,” katanya.
– MADANI NEWS
