GBBSEM sokong transformasi holistik pembaharuan teksi dan e-hailing kerajaan
GERAKAN Badan Bertindak Sahabat E-hailing Malaysia (GBBSEM) menyokong Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dan bersedia berganding bahu dengan kerajaan melibatkan industri e-hailing.
Pengerusinya, Zulkifli Othman berkata, usaha ini disambut baik lebih 200,000 pemandu teksi dan e-hailing seluruh negara yang sekian lama mengharapkan tambang adil, lestari dan mampan.
‘Kami percaya program ini pasti memberi impak baik kepada rakyat khususnya pemandu. Pasaran buruh seramai ini menjadi nadi pergerakan dan sumber periuk nasi selain sumbangan besar kepada kuasa ekonomi, sosial dan politik.
“Justeru, kami ingin menyampaikan hasrat berganding bahu bersama kerajaan Madani dalam memastikan kelestarian peningkatan hasil pendapatan negara serta pemandu teksi dan e-hailing, agar program itu mencapai kejayaan dan matlamatnya.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus sukarelawan GBBSEM menyampaikan surat sokongan secara terus kepada Anwar selepas majlis berkenaan.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Pengerusi Proton Holdings Berhad, Tan Sri Syed Faisal Albar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan Pengerusi Gabungan Teksi Malaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain.
Perdana Menteri dalam ucapannya mengumumkan tambahan dana RM10 juta dari peruntukan sedia ada dengan jumlah serupa dalam belanjawan negara sebelum ini, sebagai isyarat bahawa kerajaan serius dalam menangani kesukaran hidup golongan pemandu teksi selama ini.
Bagaimanapun Zulkifli menegaskan, golongan pemandu e-hailing juga perlu diberi perhatian kerana sekarang ia bukan lagi sekadar pengangkutan alternatif kepada rakyat, bahkan lebih 70 peratus memandu sepenuh masa.
“E-hailing dan teksi adalah dua sistem berbeza namun dalam ekosistem yang sama yakni bergantung kepada tambang sebagai punca pendapatan. Maka jika tambang teksi akan dikaji semula, jangan sampai tambang e-hailing dibiarkan tanpa kawalan.
“Kami juga menyambut baik peringatan Perdana Menteri kepada syarikat-syarikat kaya agar prihatin dengan golongan bawahan tanpa perlu kerajaan mengeluarkan arahan, sesuai dengan prinsip ihsan dalam MADANI,” katanya lagi.
Tambah beliau, GBBSEM yakin program ini bukan retorik politik dan merupakan inisiatif ikhlas kerajaan yang membawa reformasi dalam memartabatkan industri pengangkutan yang lebih bermaruah. – MADANI NEWS
