Onn Hafiz terkejut, tersentuh 2 pemimpin Pas Batu Pahat tampil di majlis BN
KEHADIRAN dua pemimpin Pas Bahagian Batu Pahat pada majlis pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) di Rengit, Batu Pahat mencuri perhatian apabila mereka secara terbuka hadir menyatakan sokongan kepada calon gabungan itu.
Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi mengakui terkejut dan tersentuh dengan kehadiran dua Ahli Jawatankuasa Pas Batu Pahat, Misran Samian dan Hazrin Abdul Hamid, yang disambut di pentas dengan pelukan serta berjabat tangan.
“Saya benar-benar tersentuh dan terkejut kerana mereka hadir bersama kami untuk menyokong calon-calon BN. Kami amat mengalu-alukan kehadiran serta sokongan mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera BN di Dewan Kampung Parit Mengkudu, Rengit, lapor Suara Merdeka.
Turut hadir ialah calon BN bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Batu Pahat iaitu Yusla Ismail (Senggarang), Zaidi Japar (Rengit) dan Boo Chin Liong (Penggaram).
Kehadiran dua pemimpin Pas itu dilihat menarik perhatian pemerhati politik memandangkan parti berkenaan tidak meletakkan calon di Batu Pahat, walaupun kerusi Senggarang dan Rengit ditandingi calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili Perikatan Nasional (PN).
Di DUN Senggarang, Bersatu mempertaruhkan Rashid Hasnon, manakala di Rengit parti itu menurunkan Syed Mohamad Syed Alwi sebagai calon.
Sementara itu, kerusi Penggaram pula menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon BN, Boo Chin Liong dan calon DAP, Poh Rui Ling.
Perkembangan itu berlaku beberapa hari selepas Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa ahli serta penyokong parti berkenaan memberi sokongan kepada calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pas yang hanya bertanding di 11 kerusi pada PRN kali ini tidak mengeluarkan arahan khusus supaya ahlinya menyokong calon Bersatu, namun menggesa mereka agar tidak memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).
Sebelum ini, Pas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu, namun kedua-dua parti masih kekal sebagai komponen PN dan bertanding menggunakan logo gabungan itu pada PRN Johor. Bagaimanapun, Pas memutuskan untuk tidak berkempen bagi membantu calon-calon Bersatu.
Kehadiran dua pemimpin Pas pada program BN itu sekali gus dijangka terus mencetuskan perhatian sepanjang kempen PRN Johor yang bakal menyaksikan pengundian pada 11 Julai ini. – AGENSI
