Beregu muda Malaysia kejutkan jaguh no.1 dunia di Singapura
KEJOHANAN Singapore Open 2026 pusingan pertama menyaksikan kejutan apabila beregu muda Malaysia dalam acara beregu campuran menewaskan pasangan nombor satu dunia dari China.
Beregu muda negara, Jimmy Wong dan Cheng Su Yin mencipta kejutan dengan menewaskan pilihan utama kejohanan dan beregu nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping. Berita itu dikongsikan Shuttlehard.
Lebih menarik, Yan Zhe-Dong Ping tewas kepada Jimmy-Su Yin dalam dua set dalam tempoh 43 minit.
Selepas berhempas pulas menewaskan jaguh China itu 23-21 pada set pertama, beregu muda negara terus menguasai permainan pada set kedua. Jimmy-Su Yin mengungguli set kedua dengan keputusan 21-16.
Ini kejohanan kedua yang disertai mereka selepas Malaysia Masters 2026 sejak digandingkan sebagai beregu campuran.
Jimmy-Su Yin akan menentang sama ada wakil India, Rohan Kapoor-Ruthvika Shivani Gadde atau wakil Chinese Taipei, Yang Po-hsuan-Hu Ling-fang di pusingan kedua.
Selain mereka, empat lagi wakil negara akan beraksi dalam pusingan pertama. Mereka ialah Leong Jun Hao, Wong Ling Ching, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong dan Goh V Shem-Choi Sul-gyu. – MADANI NEWS
