Lelaki ditahan susulan perbuatan tidak senonoh ‘londeh seluar’ semasa seminar pelajar sekolah
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh dengan ‘melondehkan seluarnya’ di sebuah auditorium universiti swasta di Cheras ketika berlangsungnya seminar melibatkan pelajar sekolah menengah, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada hari yang sama sebelum menahan suspek berusia lingkungan pertengahan 20-an di kawasan Sri Petaling, hari ini.
Menurutnya, suspek direman selama tiga hari sehingga 11 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang berkaitan perbuatan atau kata-kata yang bertujuan mengaibkan kehormatan seseorang.
“Siasatan awal mendapati suspek bukan pelajar universiti berkenaan dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, tular di media sosial dakwaan bahawa suspek memasuki auditorium bersama pelajar sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh, menyebabkan salah seorang pelajar terkejut dan menangis.
Difahamkan, seorang guru yang berada di lokasi bertindak mengarahkan lelaki berkenaan keluar dari dewan sebelum kejadian dapat dikawal. – MADANI NEWS
