Bekas peguam negara Abdul Gani Patail meninggal dunia
KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail meninggal dunia pada usia 71 tahun, hari ini.
Berita pemergian Allahyarham dikongsi Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dalam hantaran dalam Facebooknya, malam ini.
“Dengan penuh kedukacitaan saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Tan Sri Abdul Gani Patail atas pemergian beliau ke rahmatullah.
“Allahyarham adalah seorang tokoh perundangan negara yang pernah berkhidmat sebagai Peguam Negara dan mencurahkan bakti yang besar kepada institusi perundangan serta pentadbiran keadilan negara.
“Pemergian beliau satu kehilangan kepada keluarga besar perundangan negara. Semoga segala jasa dan sumbangan Allahyarham menjadi amal jariah yang berpanjangan.,” katanya.
Abdul Gani berkhidmat sebagai Peguam Negara dari 1 Januari 2002 hingga Julai 2015.
Beliau yang dilahirkan di Lahad Datu, Sabah, adalah lulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya (UM).
Memulakan kerjaya sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan memegang pelbagai jawatan kanan di Jabatan Peguam Negara serta mengetuai pasukan petugas khas siasatan 1MDB sebelum perkhidmatannya tamat pada 2015.
Zainul Rijal turut mengimbau kenangan peribadi dan rasmi bersama Allahyarham Abdul Gani.
“Allahyarham sangat menghormati undang undang syariah.
Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat-Nya dan menempatkan roh beliau dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.
Sementara itu, BERNAMA melaporkan, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, ketika dihubungi turut mengesahkan berita duka itu.
“Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 9 malam tadi,” katanya.
