Ismail letak jawatan atas kerelaan sendiri, bukan arahan UMNO, kata Zahid
PUTRAJAYA: Peletakan jawatan Ismail Lasim sebagai menteri besar Negeri Sembilan dibuat atas kerelaan sendiri tanpa arahan khusus parti, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi.
Beliau berkata, tidak timbul isu peletakan jawatan itu diarahkan UMNO, sebaliknya ia dibuat sendiri oleh pemimpin berkenaan.
“Beliau tidak memberikan alasan, mungkin atas rasa dan kesedaran bahawa beliau mahu supaya permasalahan ini dapat dirungkaikan dengan secepat mungkin,” katanya selepas menghadiri Majlis Peluncuran Putrajaya FOI 2026.
Zahid berkata, surat peletakan jawatan itu diserahkan kepadanya sebelum diutuskan kepada pihak istana mengikut kaedah dan tatacara adat yang betul.
Semalam, Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir mengumumkan Ismail telah mengutus surat peletakan jawatan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Bagaimanapun, pihak istana hari ini memaklumkan kesahihan surat peletakan jawatan Ismail masih belum disahkan.
Peletakan jawatan itu juga hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan baginda.
Ismail, 67, yang juga Adun Juasseh dijadual menghadap Tuanku Muhriz Jumaat ini.
Dalam pada itu, Zahid memaklumkan hanya satu nama dikemukakan setakat ini bagi jawatan menteri besar Negeri Sembilan yang baharu.
Bagaimanapun, katanya sebarang pengumuman rasmi berhubung pelantikan itu hanya akan dibuat oleh pihak istana atau Yang Dipertuan Besar.
“Dan terserahlah kepada Tuanku untuk memberikan perkenan terhadap nama yang telah saya kemukakan. Jika nama itu diterima, hanya Kebawah Duli Tuanku dan pihak istana sahaja yang boleh mengumumkannya,” katanya.
Zahid turut berharap kemelut di Negeri Sembilan dapat diselesaikan dengan baik dan sempurna selepas proses perkenan pemilihan menteri besar baharu selesai. – MADANI NEWS
