Budak 9 tahun dibaham buaya ketika memancing
PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki sembilan tahun dipercayai disambar buaya di Sungai Semayan, Pulau Banggi, Sabah kira-kira 3.30 petang semalam.
Ketua Polis Kudat, Haris Ibrahim, berkata seorang guru sekolah membuat laporan kira-kira 4.30 petang semalam dan siasatan awal mendapati murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Semayan itu memancing bersama abangnya di Sungai Semayan.
“Mangsa dipercayai turun ke sungai untuk melepaskan mata kail pancingnya yang tersangkut, sebelum disambar seekor buaya,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, operasi mencari yang dijalankan polis bersama Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung selama beberapa jam menemui mangsa di bawah jambatan Sungai Semayan.
Menurutnya, mangsa cedera di bahagian kepala dan mayatnya dibawa ke Balai Polis Karakit sebelum dihantar ke Hospital Kudat.
Katanya, bedah siasat akan dijalankan selepas mendapat pengesahan pihak forensik Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu dan kes diklasifikasikan mati mengejut. – MADANI NEWS
