Dr Hasmah selamat disemadikan di Pusara Negara, Putrajaya
SUASANA hening menyelubungi Pusara Negara di Presint 20 di Putrajaya, ketika jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selamat disemadikan pukul 6.20 petang dengan dihadiri suami, Tun Dr Mahathir Mohamad, anak-anak serta anggota keluarga.
Istiadat Pengebumian Pembesar Negara itu diadakan sebagai penghormatan terakhir kepada isteri bekas Perdana Menteri itu yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.20 pagi tadi pada usia 100 tahun.
Terdahulu, jenazah Allahyarham diusung oleh lapan pegawai gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), diketuai oleh Kapten Ahmad Saufi Md Isa daripada Markas Tentera Darat.
Usai pengebumian, istiadat diteruskan dengan penyerahan Jalur Gemilang oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan Abd Shukor Mahmood.
Bacaan talkin kemudiannya disempurnakan oleh Imam Besar Masjid Putra Dr Muhamad Zakuwa Rodzali.
Istiadat itu turut menjadi tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Allahyarham kepada negara, khususnya dalam bidang kesihatan, pendidikan dan kebajikan masyarakat.
Jenazah Allahyarham turut disemadikan bersebelahan dengan pusara Allahyarham Endon Mahmood, isteri kepada Perdana Menteri kelima, Allahyarham Abdullah Ahmad Badawi.
Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ditemani anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah.
Hadir sama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ramli Ngah Talib, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh serta beberapa Jemaah Menteri, wakil kedutaan asing, pemimpin masyarakat serta orang ramai.
Terdahulu, jenazah Dr Siti Hasmah dibawa ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah untuk urusan memandikan dan solat jenazah sebelum dibawa ke Pusara Negara Presint 20 untuk disemadikan.
Dilahirkan pada 12 Julai 1926, Dr Siti Hasmah merupakan anak keenam daripada 10 beradik kepada pasangan Mohd Ali Taib dan Siti Khadijah Ahmad.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Baru, Methodist Girls School, St Mary’s School dan kemudiannya Pudu English Girls School.
Allahyarham meninggalkan suami, Dr Mahathir dan tujuh anak. – AGENSI
