Ustazah enam anak didakwa cabul pelajar lelaki 16 tahun
SEORANG guru agama bergelar ustazah di sebuah sekolah menengah kebangsaan didakwa di Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun, dua tahun lepas.
Haslina Abu Bakar, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ainul Sharin Mohamad.
Wanita itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara mencium mulut kanak-kanak itu, semasa kejadian bagi maksud seksual pada November 2024.
Haslina juga didakwa melakukan perbuatan sama dengan cara memeluk mangsa sebulan selepas itu.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga ibu kepada enam anak itu, didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara membuat mangsa meraba bahagian dada tertuduh, bagi maksud seksual pada November tahun yang sama.
Haslina didakwa melakukan semua perbuatan itu di bilik Pendidikan Islam, di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Kinta kira-kira 3.30 petang.
Kesemua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin tidak menawarkan jaminan atas alasan kesemua kesalahan merupakan kesalahan yang tidak boleh diberikan jaminan, serta mengambil kira keseriusan kes kerana tertuduh merupakan guru kepada mangsa, selain pelajar itu kini tidak lagi bersekolah di sekolah yang sama dengan wanita tersebut.
Bagaimanapun, peguam bela Amira Sofea An-Nur Ahmad memohon jaminan minimum mengambil kira wanita itu mempunyai enam orang anak berusia lapan hingga 22 tahun yang masih bersekolah dan menuntut di institusi pengajian tinggi, mempunyai penyakit kolestrol tinggi dan migrain, selain suaminya mempunyai masalah kesihatan serta tertuduh merupakan sumber pendapatan utama keluarga.
Amira Sofea An-Nur turut memaklumkan Haslina kini berkhidmat di sekolah lain yang jauh daripada mangsa, mempunyai latar belakang perkhidmatan yang baik sebagai guru, bekerja tetap serta kesalahan itu merupakan kesalahan pertamanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – AGENSI
