PH jangan dahului kuasa Lembaga Pengampunan – tegur UMNO Kedah
ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) diminta tidak bertindak seolah-olah mempunyai kuasa menentukan sama ada permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, wajar diperkenankan atau sebaliknya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara berkaitan pengampunan bukan sesuatu yang sepatutnya diputuskan melalui kenyataan politik atau perdebatan di media sosial.
Sebaliknya, katanya, proses berhubung permohonan pengampunan telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlu dihormati semua pihak.
“Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan suatu proses yang jelas melalui Lembaga Pengampunan dan proses inilah yang wajib dihormati oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mahdzir, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan, mensabitkan dan menjatuhkan hukuman, manakala Jabatan Penjara bertanggungjawab melaksanakan hukuman berkenaan.
Katanya, selepas proses sabitan dan hukuman selesai, Perlembagaan menyediakan mekanisme tersendiri untuk mempertimbangkan permohonan pengampunan.
“Justeru, permohonan pengampunan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak bukanlah suatu penolakan terhadap keputusan mahkamah, bukan perbicaraan semula dan bukan juga rayuan politik.
“Ia merupakan hak untuk memohon pertimbangan melalui saluran sah yang disediakan oleh Perlembagaan,” katanya.
Mahdzir berkata, kuasa pengampunan merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang perlu dilaksanakan dalam kerangka Perlembagaan selepas proses undang-undang selesai.
Sehubungan itu, beliau berkata, tiada parti politik sepatutnya mendahului proses berkenaan dengan menentukan lebih awal siapa yang layak atau tidak layak menerima pengampunan. – MADANI NEWS
Beliau turut menyentuh kenyataan beberapa pemimpin dan penyokong PH yang secara terbuka mendesak supaya permohonan Najib tidak diperkenankan.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja mendahului proses Lembaga Pengampunan, malah boleh dilihat sebagai cubaan memberikan tekanan politik terhadap suatu pertimbangan yang sepatutnya berlangsung secara bebas dan tertib,” katanya.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen menuntut semua pihak menghormati Perlembagaan tanpa mengira parti atau individu yang terlibat.
“Perlembagaan tidak berubah mengikut warna parti atau nama individu.
“UMNO Negeri Kedah akan terus menjunjung institusi Raja-Raja Melayu serta menghormati apa-apa keputusan yang dibuat selaras dengan kerangka Perlembagaan,” katanya.
