Dr. Maszlee tawar agenda 3K1P, janji Puteri Wangsa lebih selamat, sihat dan berdaya maju
JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr. Maszlee Malik memperkenalkan agenda 3K1P sebagai teras perjuangannya bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk, merangkumi Kelestarian, Kesihatan, Keselamatan dan Pendidikan.
Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, pendekatan berkenaan bukan sekadar slogan kempen, sebaliknya pelan tindakan menyeluruh yang disusun berdasarkan keperluan sebenar masyarakat setempat.
Menurutnya, aspek pertama iaitu Kelestarian bukan hanya tertumpu kepada pemeliharaan alam sekitar, malah merangkumi usaha membangunkan Puteri Wangsa sebagai sebuah kawasan yang lebih tersusun, selesa dan memiliki kemudahan infrastruktur yang mampu memenuhi keperluan rakyat pada masa kini serta generasi akan datang.
“Saya mahu melihat jalan raya yang lebih berkualiti, bukan sahaja di kawasan perumahan, tetapi juga di kampung-kampung seperti Ulu Tebrau, Seelong dan Kampung Sinaran.
“Saya juga bertekad memastikan setiap aduan rakyat berkaitan infrastruktur diberikan perhatian tanpa mengira sama ada ia melibatkan jalan Persekutuan, jalan negeri ataupun di bawah pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Bagi memudahkan penduduk menyalurkan aduan, beliau bercadang membangunkan Aplikasi DUN Puteri Wangsa, yang membolehkan orang ramai melaporkan kerosakan atau masalah setempat secara terus bagi mempercepatkan tindakan pihak berkaitan.
Mengulas aspek kedua iaitu Kesihatan, Maszlee berkata akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti merupakan hak setiap rakyat dan perlu dipermudah, terutama bagi golongan yang berdepan kekangan masa dan kos.
Sehubungan itu, beliau bercadang memperkenalkan perkhidmatan konsultasi doktor secara dalam talian menerusi aplikasi khas, sekali gus membolehkan penduduk mendapatkan nasihat awal daripada doktor bertauliah tanpa perlu menunggu lama di klinik atau hospital.
Bagi aspek Keselamatan, beliau menegaskan usaha mewujudkan persekitaran yang selamat tidak boleh dipikul oleh pihak polis semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan komuniti.
“Saya mahu memastikan kawasan yang gelap dipasang lampu jalan secukupnya, kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan baik dan kawasan kejiranan menjadi lebih selamat untuk semua.
“Menerusi aplikasi DUN Puteri Wangsa, kita mahu menjadi mata dan telinga rakyat supaya semangat kita jaga kita dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Dalam pada itu, Maszlee berkata aspek Pendidikan sentiasa dekat di hatinya memandangkan beliau berasal daripada bidang akademik dan pernah menerajui Kementerian Pendidikan.
Beliau berkata, masa depan sesebuah masyarakat banyak bergantung kepada kualiti pendidikan yang diterima oleh generasi muda, namun ramai ibu bapa kini berdepan beban kos kelas tambahan yang semakin meningkat.
“Ramai ibu bapa yang saya temui, sama ada di bandar, kampung mahupun Felda, mempunyai impian yang sama iaitu mahu memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak mereka, tetapi terbatas dengan kemampuan kewangan.
“Oleh itu, saya bercadang menyediakan kelas tambahan percuma untuk anak-anak daripada keluarga B40 serta golongan orang kurang upaya (OKU), selain menawarkan perkhidmatan tuisyen dalam talian secara percuma kepada semua penduduk,” katanya.
Menurut Maszlee, agenda 3K1P itu diharap mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan sebuah Puteri Wangsa yang lebih moden, inklusif dan mesra rakyat, dengan penekanan kepada penyelesaian masalah harian penduduk melalui penggunaan teknologi serta penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap. – SUARA MERDEKA
