PRN Johor: PH serah penentuan Menteri Besar kepada Sultan Johor – Maszlee
JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) menyerahkan sepenuhnya soal pelantikan Menteri Besar Johor kepada kebijaksanaan dan prerogatif Sultan Johor sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr. Maszlee Malik berkata, gabungan itu tidak pernah membincangkan soal siapa yang bakal mengisi jawatan berkenaan kerana tumpuan utama ketika ini adalah untuk meraih mandat rakyat serta menawarkan pentadbiran yang terbaik menerusi kekuatan pasukan dan dasar yang dibawa.
“Isu Menteri Besar langsung tidak dibincangkan kerana kita akur bahawa mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri, pelantikan Menteri Besar adalah prerogatif Istana. Pada akhirnya, Tuanku yang akan membuat keputusan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.
Kenyataan itu hadir ketika nama Maszlee semakin hangat diperkatakan sebagai antara calon berpotensi untuk menerajui pentadbiran Johor sekiranya PH berjaya merampas negeri itu pada PRN kali ini.
Sebelum ini, bekas Menteri Pendidikan itu turut dikaitkan sebagai antara ‘poster boy’ PH dalam menghadapi pilihan raya berkenaan, sekali gus menguatkan spekulasi mengenai peranannya jika gabungan tersebut memperoleh kemenangan.
Bagaimanapun, Maszlee menegaskan kekuatan PH tidak bergantung kepada seorang individu semata-mata, sebaliknya berpaksikan barisan calon yang ditampilkan di kesemua 56 kerusi DUN.
“Kita tampil sebagai satu pasukan. Kalau kita kata 56, 56 itulah Avengers kita,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu mencerminkan komitmen PH untuk menawarkan penyelesaian menyeluruh terhadap pelbagai isu rakyat, termasuk peluang pekerjaan, pembangunan wilayah utara dan tenggara Johor, kos sara hidup serta usaha mengurangkan kebergantungan rakyat Johor untuk bekerja di Singapura.
Pada masa sama, pendirian PH untuk tidak menamakan calon Menteri Besar lebih awal dilihat selari dengan penghormatan terhadap institusi diraja Johor yang mempunyai kuasa melantik Menteri Besar mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri.
Pendekatan itu juga mengelakkan kempen pilihan raya daripada tertumpu kepada polemik perebutan jawatan, sebaliknya memberi ruang kepada PH memfokuskan agenda dan tawaran kepada rakyat sepanjang tempoh berkempen.
Walaupun tidak mengesahkan sebarang hasrat untuk menjadi Menteri Besar, kedudukan Maszlee sebagai bekas Menteri Pendidikan, bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam serta antara tokoh paling dikenali dalam senarai calon PH terus meletakkan beliau dalam radar pemerhati politik sebagai figura yang berpotensi memainkan peranan penting sekiranya PH mencipta kejutan pada PRN Johor kali ini. – MADANI NEWS
