PRN Johor: PKR yakin calon mampu jadi suara rakyat, bawa agenda keadilan
KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menzahirkan keyakinan bahawa barisan calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mempunyai keupayaan untuk menjadi suara rakyat serta mengangkat agenda keadilan demi kesejahteraan negeri itu.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, calon-calon yang dipilih bukan sahaja membawa mandat parti, malah diyakini mampu menterjemahkan gagasan reformasi dan keadilan yang menjadi teras perjuangan PKR di Johor.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, sesi pertemuan dan taklimat bersama calon-calon PKR telah diadakan semalam bagi memperkukuh persediaan menjelang medan pilihan raya.
Menurutnya, taklimat berkenaan disampaikan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar serta turut dihadiri Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh dan Pengerusi MPN PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
“Nurul Izzah telah menyuntik semangat juang serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan calon-calon KEADILAN untuk menghadapi cabaran kempen dan mendekati pengundi,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Ahmad Farhan berkata, beliau turut berkesempatan menyaksikan majlis lafaz ikrar dan penandatanganan borang aku janji oleh semua calon sebagai simbol komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat serta mematuhi prinsip perjuangan parti.
“Berbekalkan mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh pimpinan parti, saya menaruh keyakinan penuh bahawa setiap calon yang diketengahkan mampu membawa suara rakyat serta menterjemahkan gagasan keadilan di bumi Johor Darul Ta’zim,” katanya.
Beliau berkata, semangat yang ditunjukkan calon-calon PKR membuktikan parti itu bersedia untuk menghadapi PRN Johor dengan tekad menawarkan kepimpinan yang dekat dengan rakyat serta berupaya menangani isu-isu yang membelenggu kehidupan mereka. – MADANI NEWS
