Malaysia cipta sejarah TVET: GTPC dilancar, hubungkan graduan terus ke industri
MALAYSIA melangkah setapak lagi dalam memperkukuh agenda pembangunan modal insan apabila melancarkan GITC TVET Placement Centre (GTPC), platform penempatan bakat TVET pertama di peringkat nasional yang berfungsi sebagai jambatan langsung antara pelajar, graduan dan industri.
Pelancaran ekosistem bersepadu itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, Ahmad Zahid Hamidi sempena sambutan Hari TVET Negara 2026 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Perbadanan Putrajaya, hari ini.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid menegaskan bahawa TVET kini bukan lagi sekadar pilihan alternatif dalam sistem pendidikan negara, sebaliknya telah muncul sebagai laluan utama untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi tuntutan industri moden serta menawarkan peluang pendapatan yang lebih baik.
“TVET bukan lagi pilihan kedua. Ia adalah laluan utama ke arah pekerjaan berkualiti, mobiliti sosial yang lebih tinggi dan masa depan ekonomi negara yang mampan,” katanya.
Menurut beliau, sambutan Hari TVET Negara bukan sekadar acara tahunan, tetapi simbol kepada perubahan landskap pendidikan negara yang kini meletakkan TVET di tengah-tengah agenda pembangunan ekonomi Malaysia.
Namun begitu, beliau mengakui beberapa cabaran utama masih perlu ditangani, termasuk ketidakpadanan antara latihan dan keperluan teknologi semasa industri, persepsi negatif terhadap prospek kerjaya TVET serta jurang dari segi kualiti tenaga pengajar dan kemudahan latihan.
Pada masa yang sama, pelancaran TVET 2.0 disifatkan sebagai pemangkin kepada transformasi baharu ekosistem TVET yang lebih dinamik, responsif dan dipacu oleh keperluan industri.
Hubungkan Bakat TVET Dengan Peluang Kerjaya
GTPC dibangunkan sebagai platform digital bersepadu yang menghubungkan pelajar, graduan, institusi TVET dan syarikat industri dalam satu ekosistem bakat berasaskan data.
Melalui platform itu, majikan boleh mengiklankan keperluan tenaga kerja, menawarkan latihan industri, program perantisan dan peluang pekerjaan, manakala pelajar serta graduan berpeluang membina profil profesional, mempamerkan kemahiran dan mendapatkan penempatan yang bersesuaian dengan kompetensi mereka.
Institusi TVET pula dapat memantau perkembangan pelajar dengan lebih sistematik serta mengukuhkan hubungan strategik bersama pemain industri.
Selain menyokong latihan industri dan program pembelajaran berasaskan kerja (Work-Based Learning – WBL), GTPC turut memperkukuh amalan pengambilan pekerja berdasarkan kemahiran dan kompetensi, selaras dengan keperluan pasaran kerja masa kini.
Fokus Industri Masa Depan
Ahmad Zahid turut menekankan peranan Government-Industry TVET Coordination Body (GITC) sebagai penghubung strategik antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan bagi memastikan pembangunan bakat negara bergerak seiring dengan kehendak pasaran.
Beliau menggesa GITC mempergiat usaha dalam sektor-sektor berimpak tinggi seperti aeroangkasa, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV), tenaga boleh diperbaharui, keselamatan siber dan robotik.
“Pelaburan dalam TVET bukanlah satu kos, sebaliknya pelaburan terhadap produktiviti, daya saing dan masa depan negara,” katanya.
Beliau menegaskan kejayaan transformasi TVET memerlukan komitmen bersama daripada kerajaan, industri, institusi pendidikan dan pelajar sendiri.
Pelancaran GTPC, katanya, memberi isyarat jelas bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah sistem TVET yang lebih strategik, inklusif, berasaskan data dan berorientasikan hasil, sekali gus membuka laluan lebih luas kepada graduan TVET untuk memasuki pasaran pekerjaan berkemahiran tinggi. – MADANI NEWS
