Harga emas terus jatuh selepas pecah rekod tertinggi minggu lalu
HARGA emas dan perak jatuh hari ini apabila peningkatan keperluan margin oleh CME menambah tekanan jualan susulan kejatuhan pasaran minggu lalu yang dicetuskan oleh pencalonan Kevin Warsh sebagai pengerusi Rizab Persekutuan (Fed).
Emas spot turun 1.8 peratus kepada AS$4,775.96 (RM605 segram) seauns setakat jam 11.48 GMT, selepas pulih daripada kejatuhan hampir 10 peratus pada awal sesi.
Logam berharga itu merosot lebih 9.8 peratus pada 30 Januari, penurunan harian paling besar sejak 1983.
Harga emas telah kehilangan kira-kira AS$900 sejak mencatat paras tertinggi sepanjang masa AS$5,594.82 pada 29 Januari, sekali gus menghapuskan sebahagian besar keuntungan tahun ini.
Perak spot susut 1.1 peratus kepada AS$83.73, selepas pulih daripada kejatuhan 15 peratus pada awal hari ini.
Ia telah merosot kira-kira 33 peratus sejak mencapai paras tertinggi sepanjang masa AS$121.64 minggu lalu.
CME mengumumkan kenaikan keperluan margin bagi niaga hadapan logam berharga pada 30 Januari dan memaklumkan bahawa perubahan itu akan berkuat kuasa selepas penutupan pasaran hari ini.
“Peningkatan keperluan margin menjadikan pegangan posisi spekulatif kurang menarik buat masa ini dan ia juga akan memaksa ramai peserta runcit di pasaran yang tidak mempunyai kecairan tambahan untuk menjual pegangan mereka,” kata penganalisis MarketPulse oleh OANDA, Zain Vawda.
“Ia jelas mewujudkan sejenis gelung maklum balas di mana apabila harga jatuh, lebih ramai pedagang akan berdepan panggilan margin, seterusnya mencetuskan lebih banyak jualan dan harga yang lebih rendah,” tambahnya.
Indeks dolar meningkat sedikit minggu lalu selepas Presiden AS, Donald Trump, menamakan bekas Gabenor Rizab Persekutuan, Warsh, sebagai pilihannya untuk jawatan pengerusi Fed, sekali gus menjadikan emas yang didagangkan dalam dolar lebih mahal kepada pembeli luar negara.
Walaupun pelabur menjangkakan Warsh akan cenderung menyokong pemotongan kadar faedah, mereka juga menjangka beliau akan mengetatkan kunci kira-kira Fed, satu langkah yang lazimnya menyokong pengukuhan dolar.
Barclays dalam satu nota hari ini berkata, ia menjangkakan pemotongan kadar faedah, pengembangan fiskal, pelonggaran kuantitatif, penyusutan nilai mata wang fiat serta proses penyah-dolarisasi berkemungkinan akan mengekalkan permintaan pelaburan terhadap emas pada paras kukuh.
Harga platinum spot jatuh 3.4 peratus kepada AS$2,090.09 seauns selepas mencatat rekod AS$2,918.80 pada 26 Januari, manakala paladium susut 0.9 peratus kepada AS$1,684.01.
- AGENSI
