Pengampunan diraja bukan ‘hadiah’, tapi mekanisme Perlembagaan sah – Sultan Pahang
PETALING JAYA: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah pengampunan diraja merupakan satu mekanisme Perlembagaan yang sah, dan bukannya ‘hadiah’ yang dikurniakan atas dasar simpati semata-mata.
Titahnya, sebarang pengurangan hukuman tidak sesekali memadamkan sabitan mahkamah, tidak menghapuskan rekod kesalahan, dan tidak pernah membatalkan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas pentadbiran negara.
“Pengampunan dan pengurangan hukuman ini juga bukan eksklusif kepada satu nama, satu parti atau satu kedudukan.
“Setiap tahun, ratusan banduan penjara daripada pelbagai latar belakang, termasuk kes jenayah berat dan ringan, menerima pengurangan atau pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu,” titah baginda ketika berkenan berangkat bercemar duli menghadiri Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-120, di Kuantan, lapor FMT.
Al-Sultan Abdullah bertitah, keputusan pengampunan tidak dibuat secara unilateral, sebaliknya diputuskan melalui musyawarah Lembaga Pengampunan dianggotai wakil institusi utama negara atau negeri, sekali gus mencerminkan proses semak dan imbang yang berlapis.
“Kuasa pengampunan tidak harus ditafsir sebagai kelemahan sistem, sebaliknya sebagai peringatan jelas bahawa negara ini tidak ditadbir berdasarkan emosi media sosial, tidak menghakimi melalui pentas politik dan tidak menggantikan Perlembagaan dengan kemarahan awam,” titah baginda.
Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas perdana menteri, Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi sabitan kes SRC International Sdn Bhd bawah tahanan rumah.
Najib, 72, disabitkan kesalahan menyeleweng dana SRC International sebanyak RM42 juta dan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang, sejak 23 Ogos 2022.
Pada 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan tempoh penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, serta mengurangkan denda RM210 juta kepada RM50 juta.
Semakan kehakiman telah difailkan pada 2024 bagi memohon perintah memaksa kerajaan melaksanakan satu adendum, atau titah tambahan, bagi menempatkannya bawah tahanan rumah.
Najib mendakwa, titah tambahan itu tidak diumumkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, selain mendakwa pihak kerajaan menghina mahkamah kerana tidak melaksanakannya. – MADANI NEWS
