“Kalau dengan DAP boleh bekerjasama, kenapa dengan PAS tak boleh?” – Akmal cabar UMNO
KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh mencetuskan perbahasan hangat apabila mempersoalkan mengapa kerjasama politik antara UMNO dan PAS terus dianggap mustahil, sedangkan UMNO kini boleh bekerjasama dengan DAP — parti yang suatu ketika dahulu paling lantang menyerang UMNO.
Berucap pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025, Akmal menegaskan penyatuan Melayu dan Islam perlu digerakkan dengan keberanian, keikhlasan dan kesediaan melupakan dendam lama.
“Kalau kita terus hidup dengan cerita silam, kita takkan ke mana-mana. Dengan DAP, dulu mereka bantai kita, sekarang pun masih kritik, tapi kita boleh bekerjasama,” katanya.
Menurut Akmal, adalah tidak masuk akal untuk menutup pintu kepada PAS — parti yang berkongsi asas perjuangan agama dan bangsa — hanya kerana perbezaan politik lalu.

“Takkan dengan saudara sesama Islam kita tak boleh bekerjasama? Takkan kita tak boleh maafkan? Letakkan ego ke tepi dan bangunkan parti ini bersama-sama,” katanya disambut tepukan perwakilan.
UMNO dan PAS pernah berganding di bawah Muafakat Nasional (MN) pasca PRU14, namun kerjasama itu berakhir selepas PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu menjelang PRU15. Kini, UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP, manakala PAS kembali menjadi pembangkang.
Pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO Januari lalu, Akmal lantang menggesa UMNO keluar daripada kerajaan dan kembali bekerjasama dengan PAS di blok pembangkang. Namun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu kekal bersama kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.
Akmal berkata beliau mengangkat idea “tekad dua parti” sebagai asas baharu penyatuan UMNO–PAS, sambil membuka ruang kepada mana-mana parti lain yang ikhlas menyertai agenda penyatuan Melayu.
“Penyatuan ini bukan mudah. Akan ada halangan dan tentangan. Tapi tiada penyatuan besar lahir dari zon selesa,” tegasnya.
Menjawab kritikan terhadap cadangannya, Akmal mengakui ada pihak yang tidak senang, namun menegaskan perjuangan Pemuda UMNO berpaksikan agenda lebih besar daripada sentimen politik sempit.

“Kalau dengan musuh sejak merdeka pun kita boleh bekerjasama, apa lagi dengan mereka yang sebangsa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Akmal mengumumkan Pemuda UMNO akan menganjurkan Himpunan Tekad Ummah selepas PAU, melibatkan parti politik Melayu, NGO dan ahli akademik bagi membincangkan kepentingan agama dan bangsa.
“Himpunan ini bukan kebencian, tetapi kesedaran. Saya bersedia memimpin usaha ini demi penyatuan ummah,” katanya. – MADANI NEWS
