Zulfikri Osman Dilantik Ketua Pengarah MARA Baharu

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Zulfikri Osman sebagai Ketua Pengarah MARA yang baharu berkuat kuasa 17 Mac 2025.
Pelantikan ini telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis MARA Ke-587 (Bil.5 Tahun 2025) yang berlangsung pada 13 Mac 2025 dengan persetujuan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.
Zulfikri menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA sebelum ini.
Dalam satu kenyataan rasmi, Pengerusi MARA, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah terdahulu, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf, yang telah bersara setelah menabur bakti dengan penuh dedikasi menerajui MARA.
“Bagi pihak Majlis MARA dan seluruh warga MARA, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Azhar atas sumbangan dan komitmen beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya. Kami mendoakan beliau terus maju jaya dalam apa jua lapangan selepas ini,” katanya.
Pelantikan Zulfikri sebagai Ketua Pengarah MARA dijangka membawa kesinambungan kepada usaha MARA dalam memperkasa pendidikan, keusahawanan, serta pembangunan sosioekonomi Bumiputera di Malaysia.
Maklumat lanjut mengenai hala tuju dan perancangan MARA di bawah kepimpinan baharu ini dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat. – MADANINEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews