Lelaki ditahan polis kerana baling mercun di stadium

KUCHING – Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditahan polis kerana disyaki membaling mercun semasa perlawanan bola sepak antara Kuching City dan Selangor FC di Stadium Negeri Sarawak, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 10.50 malam ketika anggota polis bertugas menjalankan pemantauan keselamatan di stadium.
“Siasatan awal mendapati suspek yang berada di tempat duduk penonton telah membaling satu objek ke arah balapan stadium sebelum letupan kuat kedengaran, dipercayai berpunca daripada mercun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Mohd Farhan turut mengingatkan orang ramai agar tidak membawa bahan letupan atau barang terlarang ketika menyaksikan perlawanan di stadium bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.
“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau Pegawai Penyiasat Jenayah, SM Kipli Jeman di talian 019-6784444,” katanya. – MADANI NEWS