Selepas terima dana RM1.1 bilion, SPRM pula siasat Sapura Energy | Madani News

Selepas terima dana RM1.1 bilion, SPRM pula siasat Sapura Energy

Selepas terima dana RM1.1 bilion, SPRM pula siasat Sapura Energy

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka dua kertas siasatan berhubung pembayaran rasuah dan penyelewengan yang melibatkan syarikat Sapura Energy Berhad, beberapa bulan selepas syarikat itu menerima bantuan kewangan daripada kerajaan.

Menurut sumber, siasatan ini dijalankan berdasarkan hasil penyelidikan awal SPRM pada penghujung tahun 2023, yang melibatkan tuntutan-tuntutan dibuat membabitkan syarikat berkenaan.

“Dua kertas siasatan ini dibuka bagi menyiasat kegiatan pengubahan wang haram dan penyelewengan sekitar tahun 2018, ketika syarikat itu dikenali sebagai Sapura Kencana Petroleum Berhad.

“Selain jenayah rasuah, siasatan juga akan memberi tumpuan kepada kelemahan tatakelola dan pengurusan,” kata sumber berkenaan, lapor Bernama.com.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, turut mengesahkan perkara tersebut dan menyatakan bahawa kertas siasatan dibuka mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

Suntikan Dana Kerajaan

Sapura Energy, yang berdepan dengan masalah kewangan akibat hutang yang tinggi dan cabaran industri minyak serta gas, menerima sokongan kewangan daripada kerajaan bagi memastikan kelangsungan operasi syarikat dan mengelakkan kesan negatif terhadap ribuan pekerja.

Terbaru, kerajaan telah menyuntik dana sebanyak RM1.1 bilion ke dalam Sapura Energy sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan kewangan syarikat.

Langkah ini dibuat bagi memastikan syarikat terus beroperasi serta mengekalkan tenaga kerja dan projek-projek berkaitan. Bagaimanapun, bantuan kewangan ini mencetuskan perdebatan sama ada ia wajar dilakukan tanpa jaminan ketelusan dan akauntabiliti yang lebih ketat.

Pada tahun 2022, kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB) selaku pemegang saham utama Sapura Energy, turut membantu syarikat itu dalam penyusunan semula kewangan dengan tujuan mengelakkan kegagalan operasi besar-besaran

. Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, Sapura Energy juga telah menjalankan beberapa pelan pemulihan termasuk penstrukturan semula hutang serta penjualan aset bagi mengurangkan beban kewangan syarikat.

Dengan siasatan terbaru SPRM ini, persoalan timbul sama ada dana yang diterima syarikat itu digunakan dengan berkesan atau wujud unsur penyelewengan dalam pengurusannya. SPRM dijangka akan memperluaskan skop siasatan bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan dana awam yang telah disalurkan kepada Sapura Energy.

MADANINEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews