Kenapa susah sangat beri peruntukan kepada pembangkang? | Madani News

Kenapa susah sangat beri peruntukan kepada pembangkang?

Kenapa susah sangat beri peruntukan kepada pembangkang?
Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Mohd Radzi Jidin ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

WALAUPUN Pilihan Raya Umum Ke-15 sudah berakhir dan pembentukan Kerajaan Perpaduan sudah lebih dua tahun berlaku namun isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang khususnya melibatkan Perikatan Nasional (PN) masih belum ada penyelesaiannya.

PN bertegas menolak Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan tersebut  sebelum ini kerana syarat yang ditetapkan kerajaan disifatkan terlalu ketat dan tidak adil.

Semalam di Seremban, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam syarat tersebut, PN seolah-olah perlu menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan hanya untuk mendapatkan sejumlah peruntukan.

“Saya baca kenyataan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yussof), dia kata Syed Saddiq (Ahli Parlimen Muar) terima. Biarlah kalau Syed Saddiq terima dan PN ada sebab dan asas kenapa tak boleh terima.

“Dia (kerajaan) punya syarat itu agak luar biasa, ketat macam kita terpaksa serah segala-galanya kepada Pakatan Harapan hanya kerana nak dapat peruntukan RM200,000, RM300,000,” katanya ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Parti Pribumi Bersatu Negeri Sembilan.

Biarpun  Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah bersetuju dengan syarat yang ditetapkan kerajaan dan  dijangka menerima peruntukan untuk kawasan Parlimennya tidak lama lagi namun PN tetap bertegas.

Muhyiddin turut menyatakan,   syarat ditetapkan kerajaan itu adalah tidak adil sedangkan ketika PN mentadbir kerajaan, semua ahli Parlimen pembangkang menerima peruntukan tanpa dikenakan sebarang syarat.

“Kalau ikut waktu kita jadi kerajaan PN dulu, kita bagi semua tak bersyarat. Sebabnya, duit itu bukan kita guna peribadi, tapi untuk rakyat di kawasan berkenaan. Dengan tindakan dia (kerajaan) memilih-milih bermakna dia mendiskriminasi antara yang menyokong dan tidak sokong,” katanya yang percaya Syed Saddiq mempunyai sebab tersendiri untuk menerima syarat ditetapkan kerajaan.

Kata Muhyiddin pihaknya juga telah berusaha berunding beberapa kali dengan kerajaan berhubung peruntukan yang diharapkan.

“Kalau media bacalah apa syarat-syaratnya, semua orang kata, ini tak patut, tak munasabah, macam-macam kena sokong, macam-macam perkara. Macam kami yang ada pengalaman, kami teliti dan kami tahu ini bertentangan dengan prinsip kami, tak boleh terimalah,” katanya.

Sudah pasti PN tidak membuat keputusan sembrono atau mahu bermain politik kerana peruntukan itu amat penting untuk mereka membangunkan kawasan masing-masing tetapi mereka juga tidak rela menjadi ‘pak turut’ semata-mata mahu peruntukan berkenaan.

 Mungkin atas alasan itulah pada September tahun lalu, PN sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

 Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan menolak cadangan MoU itu kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan.

Tetapi isunya kenapakah susah sangat mahu memberi peruntukan kepada pembangkang? Kenapa perlu meletakkan syarat-syarat sepertimana ditafsirkan oleh Hamzah itu? Lagipun bukankah kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri cukup kukuh memandangkan kesemua parti memberi sokongan padu kepada beliau? Tak kan kerana mahu mendapat peruntukan, PN perlu mengorbankan prinsip perjuangan mereka?

Apapun alasannya kerajaan tetap akan dilihat menyekat peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang dan ia tidak baik kepada sebuah kerajaan yang hampir setiap masa bercakap berjuang untuk kepentingan rakyat dan menegakkan keadilan.

 Oleh itu berilah sahaja peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tanpa banyak syarat. Ia memandangkan jika peruntukan itu tidak diperolehi sudah pasti bukan sahaja pembangunan sesuatu kawasan itu akan terjejas tetapi juga usaha membantu rakyat akan tergugat.

Jika tindakan ke atas pembangkang itu dianggap akan memberi kelebihan politik kepada parti-parti kerajaan, percayalah ia satu kesilapan! Percayalah  rakyat kini sudah cukup bijak untuk membuat keputusan dalam pilihan raya, kalau tidak… mana mungkin, BN hilang kuasa selepas 61 tahun memerintah walaupun sudah melakukan pelbagai jasa kepada rakyat.