Faisal Halim bangkit dengan hatrik bersejarah! Daripada mangsa kepada wira di padang | Madani News

Faisal Halim bangkit dengan hatrik bersejarah! Daripada mangsa kepada wira di padang

Faisal Halim bangkit dengan hatrik bersejarah! Daripada mangsa kepada wira di padang
Gambar FB Faisal Halim

TRAUMA akibat insiden ngeri bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi, apatah lagi jika ia mengancam nyawa. Namun, bagi pemain bola sepak Selangor, Faisal Halim, detik hitam yang menimpanya 10 bulan lalu telah menjadi pemangkin semangat untuk bangkit lebih kuat di padang.

Dalam perlawanan Liga Super menentang Kelantan Darul Naim (KDN) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi, Faisal—atau lebih dikenali sebagai Mickey—menampilkan kebangkitan luar biasa dengan mencatat hatrik sensasi. Lebih manis, ia merupakan jaringan pertamanya musim ini selepas sekian lama berjuang untuk kembali ke prestasi terbaik pasca serangan asid yang dialaminya Mei lalu.

Bukan sekadar meraih jaringan peribadi, tiga gol Faisal turut membantu Selangor FC mengesahkan status sebagai naib juara liga, sekaligus melayakkan mereka ke saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) buat musim kedua berturut-turut.

Mengulas mengenai kejayaan ini, Faisal menzahirkan penghargaan buat seluruh penyokong, rakan sepasukan, serta pihak pengurusan yang terus menyokongnya dalam perjalanan pemulihannya.

“Terima kasih kepada semua penyokong. Tiga gol ini adalah untuk anda semua, untuk rakyat Selangor, untuk pasukan Selangor,” katanya penuh emosi.

Lebih bermakna, kejayaan ini hadir sehari sebelum ulang tahun perkahwinannya yang keenam, menjadikannya hadiah istimewa buat isteri tercinta. Malah, dalam perkongsian di laman Instagram, Faisal turut mendedikasikan hatrik tersebut kepada anak lelakinya yang sentiasa bertanyakan bila dia akan kembali beraksi.

“Alhamdulillah, ini rezeki abang. Abang selalu tanya daddy, daddy bila nak main. Ini untuk abang,” tulisnya menyentuh hati peminat.

Persembahan cemerlang ini jelas menjadi simbol kebangkitan seorang pejuang. Daripada menjadi mangsa serangan kejam, kini Faisal kembali sebagai wira di padang, membuktikan bahawa semangat juang dan ketabahan mampu mengatasi segala dugaan. – MADANINEWS