Bufet Ramadan 3 hotel di Melaka diarah tutup, gagal patuhi tahap kebersihan | Madani News

Bufet Ramadan 3 hotel di Melaka diarah tutup, gagal patuhi tahap kebersihan

Bufet Ramadan 3 hotel di Melaka diarah tutup, gagal patuhi tahap kebersihan
Gambar Freepik

SETIAP kali Ramadan menjelang, hotel-hotel di seluruh negara berlumba-lumba menawarkan bufet berbuka puasa dengan pelbagai hidangan istimewa. Walaupun harga semakin meningkat setiap tahun, sambutan daripada orang ramai tetap memberangsangkan, dengan ramai sanggup berbelanja lebih demi menikmati juadah bersama keluarga dan rakan-rakan dalam suasana yang santai.

Namun, di sebalik kemeriahan ini, isu kebersihan dapur hotel menjadi perhatian pihak berkuasa. Terkini, tiga hotel di Melaka yang menawarkan bufet Ramadan telah diarahkan tutup selama 14 hari selepas didapati gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.

Menurut Exco Kesihatan Negeri Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem, penutupan itu dibuat selepas pemeriksaan menyeluruh oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam operasi yang dijalankan sejak 17 Februari hingga semalam.

“Dalam operasi ini, kita dapati tiga hotel melanggar syarat kebersihan, dan mereka diberi tempoh 14 hari untuk memperbaiki keadaan. Namun, sekiranya mereka dapat mematuhi tahap kebersihan dalam tempoh 72 jam, pemeriksaan akan dijalankan semula untuk menentukan sama ada operasi boleh diteruskan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kempen Perhati dan Pilih Pasar Ramadan 2025 di Peringgit, Melaka, memetik laporan Buletin TV3.

Selain tiga hotel tersebut, sebanyak 41 hotel di seluruh negeri turut diperiksa, dengan sebahagian daripadanya dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan kebersihan.

“Dua kilang ais turut dikenakan kompaun kerana gagal mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan. Secara keseluruhan, sebanyak 36 notis kesalahan dikeluarkan, dengan 14 kompaun berjumlah RM6,950 dikenakan terhadap premis yang terlibat,” tambahnya.

Tindakan tegas ini diambil bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pengguna terjamin sepanjang bulan Ramadan, khususnya ketika menikmati juadah di hotel dan premis makanan yang menawarkan bufet berbuka puasa. – MADANINEWS

KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews